Penentang Putin 'mati dibunuh'

Yevgeny Prigozhin, Sergei Yushenkov, Anna Politkovskaya, Aleksandr Litvinenko, Natalya Estemirova, Sergei Magnitsky, Boris Nemtsov
Yevgeny Prigozhin, Sergei Yushenkov, Anna Politkovskaya, Aleksandr Litvinenko, Natalya Estemirova, Sergei Magnitsky, Boris Nemtsov
A
A
A

MOSCOW - Senarai individu berpengaruh di Rusia dibunuh atau mati dalam keadaan mencurigakan selepas menentang Presiden Vladimir Putin semakin bertambah sejak beliau memegang kuasa kira-kira 24 tahun lalu.

Mangsa terbaharu ialah tokoh pembangkang terkenal, Alexei Navalny yang dilaporkan meninggal dunia secara tiba-tiba di penjara pada minggu lalu.

Pihak berkuasa di pusat tahanan terpencil IK-3 di Bulatan Artik mendakwa aktivis anti rasuah itu jatuh sakit sebelum tidak sedarkan diri.

Beliau bagaimanapun tidak dapat diselamatkan dan punca kematiannya tidak dapat dipastikan.

Berikut adalah antara pengkritik Putin yang menemui ajal dipercayai angkara Kremlin.

-------------

1. Yevgeny Prigozhin

Bos askar upahan Wagner yang mempunyai hubungan rapat dengan Putin dilaporkan terkorban dalam nahas pesawat bersama sekutunya pada 23 Ogos 2023. Prigozhin yang selama ini hanya berada di belakang tabir dan terlibat siri operasi sulit termasuk campur tangan dalam Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS) dan terbabit operasi ketenteraan di Syria serta Ukraine dan bergerak aktif di beberapa negara Afrika akhirnya dikenali ramai. Tindakannya melancarkan pemberontakan singkat pada akhir Jun 2023 yang turut memalukan Putin dipercayai telah menyebabkan beliau menjadi 'sasaran' Moscow.

Artikel Berkaitan:

2. Sergei Yushenkov

Pemimpin parti anti-Kremlin, Parti Liberal Rusia ini ditembak mati di hadapan kediamannya di ibu kota pada 17 April 2003. Yushenkov mendakwa Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) terlibat dengan siri serangan bom ke atas apartment pada 1999 selepas melancarkan siasatan ke atas insiden itu. Pengeboman itu yang meragut kira-kira 300 nyawa dipersalahkan ke atas militan Chechen dan dijadikan alasan oleh Moscow untuk melancarkan Perang Chechnya Kedua.

3. Anna Politkovskaya

Beliau merupakan salah seorang wartawan terkenal di Moscow dan penulis sejarah pencabulan hak asasi manusia di Chechnya. Beliau maut ditembak di rumahnya pada 7 Oktober 2006 seperti gaya pelaksanaan hukuman mati. Seramai lima individu termasuk dua lelaki dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana didakwa terbabit dalam pembunuhan itu. Rakan dan negara Barat bagaimanapun mengesyaki ia didalangi Kremlin.

4. Aleksandr Litvinenko

Bekas ejen Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) ini meninggal dunia selepas terminum air teh dicampurkan dengan bahan radioaktif, polonium-210 pada 23 November 2006. Litvinenko melarikan diri ke Britain pada tahun 2000 setelah mendakwa FSB merancang mahu membunuh oligarki, Boris Berezovsky. Beliau pernah terlibat menjadi penulis bersama sebuah buku yang menuduh FSB terlibat siri serangan bom ke atas apartment pada 1999.

5. Natalya Estemirova

Aktivis terkenal hak asasi manusia ini meninggal dunia pada 16 Julai 2009 dengan kesan tembakan pada kepala dan dada. Mayat Natalya Estemirova ditemui beberapa jam selepas dia diculik dari kediamannya di Grozny. Mangsa dikatakan menyiasat ratusan insiden pelanggaran hak asasi manusia termasuk kes pembunuhan dan penculikan di Chechnya.

6. Sergei Magnitsky

Peguam yang juga pembocor maklumat yang disabit kesalahan kes penipuan cukai meninggal dunia di penjara pada 16 November 2009. Magnitsky yang menderita pankreatitis dinafikan rawatan ketika diletakkan di bawah tahanan pra perbicaraan. Majlis Hak Asasi tempatan, mangsa dipercayai telah dipukul sebelum disahkan mati. Pada Julai 2013, sebuah mahkamah di Rusia mendapati Magnitsky bersalah mengelak cukai di bawah kes melibatkan tertuduh yang sudah meninggal dunia.

7. Boris Nemtsov

Bekas gabenor wilayah ini pernah menjadi bintang politik yang meningkat naik pada 1990-an selain pengkritik lantang Putin. Nemtsov mati ditembak pada usia 55 tahun dengan cara pembunuhan 'gaya gangland' di sebuah jambatan berhampiran Kremlin pada 27 Februari 2015. Beliau pernah mengetuai protes menentang pemerintah dan mengutuk kempen pencerobohan ke Ukraine pada 2014. Nemtsov menjadi sasaran ketika beliau bersama sekutunya menghasilkan laporan yang memperincikan bukti tentang campur tangan Moscow di negara jiran.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28