Projek perintis TBB di premis kerajaan Kedah

Mohamad Yusoff (dua dari kiri) ketika menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Wan Ishak (kiri), Badrulhisyam (tengah) dan Mohd Zain (kanan).
Mohamad Yusoff (dua dari kiri) ketika menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Wan Ishak (kiri), Badrulhisyam (tengah) dan Mohd Zain (kanan).
A
A
A

JITRA - Kedah mengorak langkah dengan meneroka penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) menerusi projek perintis di premis kerajaan negeri dalam menjayakan inisiatif rendah karbon secara terancang.

Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Mohamad Yusoff @Munir Zakaria berkata, Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) muncul sebagai agensi kerajaan tempatan pertama melaksanakan program TBB dengan pemasangan panel solar.

Menurutnya, ia selari dengan hasrat kerajaan negeri yang menyokong peralihan tenaga konvensional kepada TBB dengan menggunakan teknologi hijau.

“Antara inisiatif dilakukan di peringkat agensi kerajaan adalah pelaksanaan pemasangan solar di bumbung-bumbung bangunan.

“Saya harap program perintis yang menggunakan sistem solar ini akan diperluaskan kepada agensi-agensi dan jabatan kerajaan lain,” katanya di sini pada Sabtu.

Sebelum itu, Mohamad Yusoff menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembekalan tenaga boleh diperbaharui antara Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mestron Energy Sdn Bhd dan MPKP.

MPKP diwakili Yang di Pertuanya, Badrulhisyam Sulaiman, manakala TNB diwakili Pengurus Besar TNB Kedah, Wan Ishak Soed serta Pengerusi Mestron Energy Sdn Bhd, Datuk Mohd Zain Mahmood.

Mohamad Yusoff berkata, kerajaan negeri menyokong pelbagai inisiatif ke arah mempercepatkan pelaksanaan peralihan penggunaan TBB menerusi Pelan Kedah 2035 dan Pelan Strategik Portfolio 2035.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana peningkatan bekalan tenaga elektrik daripada sumber TBB adalah salah satu aspek penting dalam menangani isu perubahan iklim dunia.

“Masyarakat global kini sedang rancak membincangkan langkah-langkah pengurangan jejak karbon dengan melakukan pelbagai program peralihan tenaga, ia bagi mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan hasil tenaga konvensional kepada TBB seperti solar, hydro (air) dan biomass,” jelasnya.

Menurutnya lagi, TBB merupakan tenaga yang berasal daripada sumber semula jadi seperti sinaran matahari, angin, hujan, pasang surut dan geoterma yang boleh diperbaharui.

“Kerajaan negeri akan memberi perhatian khusus dan sokongan untuk menjayakan program-program TBB khususnya melibatkan inisiatif di peringkat agensi kerajaan.

“Saya juga menyambut baik komitmen pelabur seperti Mestron Energy dengan kerjasama TNB bagi merealisasikan projek perintis ini,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!