Budu, wau antara produk didaftarkan khazanah Kelantan

Budu antara produk serta khazanah Kelantan yang didaftarkan dengan MYIPO untuk dipatenkan. Foto hiasan (Gambar kecil: Kamarudin)
Budu antara produk serta khazanah Kelantan yang didaftarkan dengan MYIPO untuk dipatenkan. Foto hiasan (Gambar kecil: Kamarudin)
A
A
A

KOTA BHARU - Budu, semua jenis wau dan seni silat jawi menjadi antara produk serta khazanah Kelantan yang didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO) untuk dipatenkan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, dikir barat, dan batik Kelantan turut didaftarkan.

"Usaha ini (paten) bertujuan memastikan 'aset' itu terpelihara sebagai harta intelek yang beridentitikan Kelantan.

"Ia penting untuk melindungi warisan budaya dan identiti Kelantan kerana semua item dan hal berkaitannya melibatkan implikasi ekonomi," katanya semasa sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2024, di sebuah hotel di sini.

Menurut beliau, Kerajaan Kelantan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang berusaha untuk mematenkan Makyung dan Wayang Kulit untuk mendapat pengiktirafan UNESCO.

Dalam perkembangan lain, Kamarudin memberitahu, pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2024 yang akan berlangsung pada Ahad ini di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV.

Katanya, pelancaran itu akan bermula pada jam 8.30 malam.

"Tema sambutan pada malam itu ialah ‘Malam Hikayat Selindung Bulan’. Pemilihan tema tersebut adalah simbolik kepada Sayyid Husin Jamadil Qubra yang berkahwin dengan puteri diraja Kelantan iaitu Puteri Selindung Bulan atau Puteri Syahirah binti Raja Mahmud Jiddah.

Artikel Berkaitan:

"Sayyid Husin Jamadil Qubra merupakan tokoh pencetus syiar Islam di gugusan Nusantara khususnya di negeri Kelantan dengan mengimbangi agama dan budaya. Puteri Selindung Bulan yang cantik menjadi tumpuan dan mendapat perhatian seluruh Nusantara.

"Oleh itu, kita simbolikkan negeri Kelantan yang kaya dengan seni tradisi dan budaya sebagai Puteri Selindung Bulan tersebut," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28