Kesihatan Tze Yong lebih jadi keutamaan BAM - Norza

Ng Tze Yong
Ng Tze Yong
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengambil pendekatan tidak terlalu memberi tekanan kepada pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong dalam usaha mengejar slot ke Sukan Olimpik Paris 2024, susulan kecederaan dialaminya.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, sebaliknya Tze Yong yang dijadual menyertai dua kejohanan kelayakan Olimpik iaitu Terbuka Perancis pada 5 hingga10 Mac, diikuti All England pada 12 hingga 17 Mac ini, diberikan ruang untuk kembali pulih sepenuhnya terlebih dahulu.

Tze Yong disahkan mengalami kesakitan tulang belakang akibat kecederaan dialami sewaktu Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Selangor, minggu lepas.

"Seperti kita sedia maklum, beliau mengalami kecederaan yang agak serius. Tentu sahaja kita harap kecederaan ini tidak akan halang penglibatannya untuk meneruskan kejohanan kelayakan Olimpik.

"Namun kita meletakkan kesihatan Tze Yong lebih penting daripada kelayakan tersebut. Kita tak mahu sekiranya beliau dibenarkan bertanding, akan menyebabkan kecederaan yang berkekalan serta susah dirawat,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, di sini hari ini.

Mohamad Norza berkata, badan induk sukan itu mengambil sikap lebih berhati-hati dalam menangani isu kecederaan itu selain mengharapkan yang terbaik buat pemain berusia 23 tahun berkenaan.

"Saya fikir kita kena tengok secara terperinci laporan perubatan itu sama ada untuk beliau teruskan penyertaan kejohanan kelayakan atau tidak.

"Saya juga mahu pihak terlibat berbincang dengan beliau. Kami tak mahu memaksanya jika rasa belum bersedia. Saya harap Institut Sukan Negara (ISN) dan barisan kejurulatihan boleh membantu merencanakan dan melihat kejohanan mana yang beliau boleh libatkan diri,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28