Badminton Terbuka Artik: Zii Jia, Tze Yong berjaya ke separuh akhir

Lee Zii Jia antara empat wakil negara berjaya melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Artik 2023 di Vantaa, Finland. (Gambar fail) - Foto AFP
Lee Zii Jia antara empat wakil negara berjaya melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Artik 2023 di Vantaa, Finland. (Gambar fail) - Foto AFP
A
A
A

EMPAT wakil negara termasuk dua pemain perseorangan, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong berjaya melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Artik 2023 di Vantaa, Finland.

Pada perlawanan suku akhir di Arena Vanta Energia pada Jumaat, pemain profesional Zii Jia menewaskan rakan senegara Leong Jun Hao yang terpaksa menarik diri pada set penentuan disebabkan kecederaan pada ketika Zii Jia mendahului 11-7.

Pemain pilihan kelapan kejohanan sebelum itu menang set pertama 21-16, sebelum Jun Hao membawa perlawanan ke set penentuan dengan menang set kedua 21-19.

Zii Jia, pemain ke-14 dunia akan bertemu pemain pilihan ketiga kejohanan Anders Antonsen dari Denmark, yang mengalahkan Koki Watanabe dari Jepun, 21-9, 22-24, 21-14, dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Sementara itu pemain bukan pilihan Tze Yong mengejutkan pemain pilihan keempat dari China Lu Guang Zu, 21-11, 21-18, dan akan bertemu Kanta Tsuneyama, selepas pemain Jepun itu mengalahkan seorang lagi pemain China Lei Lan Xi, 21-19, 21-12.

Sementara itu, pemain beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun, melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan Indonesia Pramudya Kusumawardana-Yeremia Ercih Yoche Yacob Rambitan, 22-20, 21-18.

Wei Chong-Kai Wun akan berhadapan pasangan dari Denmark Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, yang berjaya mengalahkan satu lagi pasangan beregu negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, 16-21, 21-19, 21-14.

Sementara itu, pasangan beregu campuran dan pilihan kelima kejohanan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengambil masa 42 minit untuk mengejutkan pasakan pilihan kedua kejohanan dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, 21-14, 21-17.

Artikel Berkaitan:

Pasangan pilihan keempat dari China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin menanti di separuh akhir selepas lawan mereka Mathias Christiansen-Alexandrta Boje, menarik diri pada set penentuan.

Zhen Bang-Ya Xin kalah 19-21 pada set pertama dan memenangi set kedua 21-14, sebelum kecederaan Christiansen memaksa pasangan dari Denmark itu menarik diri. - Bernama