NGO Islam dikategori pengganas, DUPP gesa Wisma Putra bertindak

Ahmad
Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menggesa Wisma Putra bertindak membersihkan nama tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini yang dikategorikan sebagai pengganas oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, perkara tersebut sangat penting kerana kumpulan tersebut konsisten membantu rakyat Palestin.

"Ia juga sangat perlu untuk mempertahankan imej negara kita daripada tohmahan terlibat dengan aktiviti keganasan.

"Senarai yang diterbitkan oleh FBI melalui Pusat Saringan Pengganas (TSC) itu tidak wajar dan jauh daripada realiti yang berlaku di lapangan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan tiga pemimpin daripada NGO Islam berasingan dari Malaysia yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat disenaraikan dalam TSC oleh FBI.

Susulan itu, Kementerian Luar mengarahkan ketiga-tiga individu berkenaan tidak dibabitkan dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari mengesahkan kesahihan surat pemakluman berkenaan yang diterimanya daripada Kementerian Luar Bahagian Asia Barat.

Kata Ahmad, walaupun tiada kompromi dalam aspek keselamatan negara, namun perlu berhati-hati dengan sebarang dakwaan yang dibuat organisasi antarabangsa khususnya berkaitan kategori pengganas.

Artikel Berkaitan:

"Salah satu NGO yang disabitkan sebagai pengganas adalah NGO Persatuan Cinta Syria Malaysia yang ditadbir oleh Ustaz Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman.

"Beliau merupakan adik kepada aktivis Ustaz Nadir Al-Nuri yang merupakan pemimpin utama NGO Cinta Gaza Malaysia selain MyAqsa Defenders," katanya.

Tambah beliau, jika diikutkan klasifikasi pengganas, pertubuhan Hamas sendiri turut diletakkan sebagai organisasi pengganas antarabangsa oleh Amerika Syarikat (AS).

"Sedangkan Hamas bertindak mempertahankan dan memberikan bantuan kepada rakyat Palestin yang diseksa selama tujuh dekad," ujar Ahmad.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!