ESCAPE Ipoh ikon baharu pelancongan di Perak

Saarani (empat dari kanan) meninjau pembangunan ESCAPE Ipoh di Tanjung Tualang dekat Batu Gajah yang akan dibuka sepenuhnya April depan.
Saarani (empat dari kanan) meninjau pembangunan ESCAPE Ipoh di Tanjung Tualang dekat Batu Gajah yang akan dibuka sepenuhnya April depan.
A
A
A

BATU GAJAH - Kerajaan Perak beri jaminan ikon pelancongan baharu, Taman Inspirasi Alam Semulajadi ESCAPE Ipoh dekat Tanjung Tualang, di sini tidak akan menjadi projek 'gajah putih' sepertimana Taman Tema Animasi Studio (MAPS).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan dengan nilai pelaburan RM30 juta itu dilaksanakan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) menerusi syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) iaitu Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) sebagai penyedia tapak dan syarikat swasta, Sim Leisure Group (SLG).

Menurutnya, syarikat yang menjayakan projek itu juga terlibat sebagai pemain industri di peringkat antarabangsa dengan lebih 300 lokasi ESCAPE di seluruh dunia.

"Projek ini telah dilancarkan dan terbukti semua persiapan telah ada. Mereka hanya perlukan sedikit masa lakukan penambahbaikan sebelum dibuka sepenuhnya.

"Jadi tidak adil untuk kita bandingkan dengan MAPS apatah lagi projek ini secara PFI. Tanggungjawab sepenuhnya kepada syarikat terlibat dan sudah tentulah mereka tidak mahu rugi.

"Kita pun meletakkan keyakinan yang tinggi agar projek ini dapat merancakkan pembangunan pelancongan dalam negeri Perak," katanya selepas merasmikan Taman Inspirasi Alam Semulajadi ESCAPE Ipoh di Tanjung Tualang dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Anuar Zainal Abidin.

ESCAPE Ipoh yang terletak bersebelahan ikon warisan Kapal korek Tanjung Tualang Tin Dredge No.5 (TT5) akan dibuka sepenuhnya pada April depan.

Artikel Berkaitan:

Projek yang dibangunkan di kawasan seluas 56 hektar itu akan dijadikan tarikan utama Tahun Melawat Perak 2024 dan dijangka berupaya menarik kehadiran 200,000 pengunjung setahun.

Saarani berkata, pembukaannya secara tidak langsung merancakkan kegiatan ekonomi serta menjadi pemangkin kepada industri pelancongan di Perak khususnya di sekitar kawasan Batu Gajah.

Katanya, ini ditambah kedudukan strategik yang terletak berhampiran Kellie’s Castle, Silverlakes Village Outlet, Galeri LAT, Gua Tempurung, Taman Alam Kinta, Perak Agrotourism Resort (PATRO) dan The Treasure Taman Herba @Gopeng.

"ESCAPE Ipoh boleh dianggap sebagai pelengkap kepada perancangan menjadikan Greater Ipoh (Batu Gajah-Ipoh-Kuala Kangsar) sebagai destinasi pilihan pelancong.

"Ini juga adalah deretan usaha yang kita laksanakan untuk menjadikan pelan Perak Sejahtera 2030 sebagai satu realiti," katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Saarani berkata, pembangunan ESCAPE Ipoh yang merupakan pembangunan semula di tapak brownfield dapat meningkatkan nilai hartanah dan kepakaran tenaga buruh.

Jelasnya, pembangunannya mengingatkan kepada Mines Wellness City atau sebelum ini dikenali Mines Resort City (di Seri Kembangan, Selangor) yang dahulunya merupakan bekas tapak lombong dedah terbesar dunia yang kini mempunyai hotel lima bintang, hotel, sekolah antarabangsa, pusat beli belah dan pusat konvensyen sekaligus menjadi antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

"Kerajaan negeri sangat menghargai usaha bersungguh-sungguh MB Inc untuk membangunkan tapak bekas lombong ini menjadi salah satu lokasi pelancongan yang dapat menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28