10 pasangan nikah serentak dalam Majlis Akad Nikah Rahmah

10 pasangan yang diijabkabulkan pada Sabtu di Majlis Akad Nikah Rahmah. - Foto: Jawi.
10 pasangan yang diijabkabulkan pada Sabtu di Majlis Akad Nikah Rahmah. - Foto: Jawi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 10 pasangan diijabkabulkan dalam Majlis Akad Nikah Rahmah bersempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada tarikh istimewa 24 Februari 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia bagi meringankan beban golongan B40 sekali gus melaksanakan rancangan yang sejajar dengan inisiatif Jawi untuk meneroka program-program ilmu pembangunan kekeluargaan.

“Setiap pasangan yang diraikan hari ini terdiri daripada golongan asnaf terpilih tetapi keutamaan diberikan kepada mereka yang bermastautin di Wilayah Persekutuan dan berpendapatan bulanan kurang daripada RM4,000.

“Ini merupakan platform terbaik bagi menjayakan agenda pemerkasaan institusi kekeluargaan Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan menerusi penjagaan nasab keturunan yang disarankan oleh syarak.

“Pembentukan keluarga yang bahagia menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah masyarakat Madani,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan pada Sabtu.

Mohd Na’im berucap ketika Majlis Akad Nikah Rahmah sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Jawi di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan pada Sabtu. - Foto: Jawi.
Mohd Na’im berucap ketika Majlis Akad Nikah Rahmah sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Jawi di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan pada Sabtu. - Foto: Jawi.

Majlis berkenaan dianjurkan Jawi bersama rakan strategik iaitu, Restoran Ali Maju Sdn Bhd, JAKEL Holdings Sdn Bhd, Dzzling Ummah dan Azraa Gold & Diamond sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun jabatan berkenaan.

Dalam majlis tersebut, pasangan pengantin paling muda yang diraikan berusia 18 tahun manakala paling tua pula berusia 52 tahun.

Artikel Berkaitan:

Mohd Na’im turut menggalakkan umat Islam khususnya orang muda untuk berkahwin susulan statistik jumlah perkahwinan semakin berkurang manakala kes penceraian kian meningkat.

Ujarnya, majlis itu merupakan satu inisiatif bagi membantu rakyat Malaysia berkahwin daripada meneruskan kehiidupan bujang sehingga tua.

“Dalam majlis hari ini, pengantin lelaki hanya perlu bayar mas kahwin, yang lain semuanya disumbangkan oleh rakan-rakan strategik kami.

“Semoga perkahwinan ini menjadi medan bertambahnya iman serta taqwa dalam diri kalian dan semoga zuriat yang bakal lahir menjadi anak-anak yang soleh dan solehah,” tambahnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28