Ammar diturunkan pangkat kerana gagal capai prestasi - King Sing

King Sing ditemui pemberita selepas perasmian Hari Kraf Kebangsaan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada Sabtu.
King Sing ditemui pemberita selepas perasmian Hari Kraf Kebangsaan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan sebab Datuk Dr Ammar Abd Ghapar diturunkan pangkat daripada jawatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, kerana gagal mencapai prestasi kerja yang ditetapkan.

Ujar King Sing, banyak peluang telah diberikan kepada Ammar memandangkan beliau mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pelancongan.

Menurutnya, Ammar tidak dipecat atau ditamatkan perkhidmatan seperti yang didakwa sebaliknya hanya diturunkan pangkat.

"Saya bimbang saya sudah beri banyak kali peluang dan nasihat, bukan sahaja saya, termasuk timbalan saya sendiri. Apa sepatutnya buat yang terbaik untuk negara kita kepada pelancong-pelancong.

"Tetapi saya tak tahu (sama ada) beliau tidak ada idea atau beliau tidak tahu macam mana hendak buat. Bila beliau tidak boleh 'perform' (menunjukkan prestasi), saya mesti tukar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas perasmian Hari Kraf Kebangsaan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam pada itu, King Sing turut menegaskan bahawa tindakan menurunkan pangkat itu tidak ada kaitan dengan unsur perkauman.

"Kita ikut proses sedia ada, kalau tidak boleh (capai prestasi), kita turun.

Artikel Berkaitan:

"Jadi tidak ada unsur-unsur perkauman. Kalau kita bagi satu kaum sahaja kerja, lain-lain kaum macam mana?

"Kalau beliau (Ammar) tidak boleh buat kerja, jangan buat malu kepada kementerian atau Tourism Malaysia, pergi main simpati atau kata dipecat sedangkan dia turun jadi Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Tourism Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, ulas beliau, kementerian akan memberi peluang kepada mana-mana pekerja yang menunjukkan prestasi yang bagus dalam pekerjaan.

"Daripada dulu apabila bekas Ketua Pengarah sudah pencen, memang dalam senarai nama beliau (Ammar) bukan yang pertama dalam kementerian.

"Saya beri beliau (Ammar) peluang tetapi apabila beliau menjalankan tugas, beliau tidak membuktikan itu PHD.

"Kita tidak boleh rancang apa-apa, kalau tengok pelancongan, destinasi baharu tiada. Beliau tidak ada perbincangan dengan negeri-negeri," jelasnya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan kenyataan Ammar yang kecewa apabila perkhidmatannya selama 36 tahun dalam industri pelancongan ditamatkan.

Menurut Ammar, sebagai kakitangan kerajaan yang telah lama berkhidmat, beliau sentiasa melakukan tugas mengikut prosedur dan tatacara betul.

Sebelum itu, tular satu surat bertarikh 22 Februari yang memaklumkan berhubung penamatan pelantikan Ammar sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia berkuat kuasa 24 Februari 2024.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28