Miskin tegar di Perak turun 58 peratus

Saarani (kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Perak (MTPNg) bersama ketua jabatan negeri dan Persekutuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.
Saarani (kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Perak (MTPNg) bersama ketua jabatan negeri dan Persekutuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Jumlah miskin tegar di Perak mencatatkan penurunan sebanyak 58 peratus pada 2023 hasil pelaksanaan Program One Stop Centre Sejahtera Sosial yang dilaksanakan Pejabat Pembangunan Negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan data eKasih, daripada 9,402 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berada dalam kategori miskin tegar pada awal tahun lalu menurun kepada hanya 3,911 KIR.

"Pelaksanaan Program One Stop Centre Sejahtera Sosial oleh Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) yang menyatukan semua agensi pemberi bantuan di bawah satu platform, banyak membantu mempermudah golongan miskin tegar dalam mendapatkan bantuan yang mereka perlukan.

"Keberhasilan program ini dibuktikan dengan penurunan jumlah miskin tegar dalam data eKasih sebanyak 58 peratus daripada 9,402 KIR pada 31 Januari 2023 kepada hanya 3,911 KIR pada 31 Disember 2023," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Saarani berkata, di bawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) pada tahun ini, sebanyak 422 program dan projek pembangunan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.55 bilion akan dilaksanakan.

Katanya, fokus kerajaan negeri terarah kepada pelaksanaan 359 projek fizikal dengan peruntukan sejumlah RM1.28 bilion atau 83 peratus daripada keseluruhan peruntukan.

Jelasnya, ia termasuk projek-projek utama seperti pembekalan kelengkapan, peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembelian bangunan, pembinaan baharu, penyenggaraan serta perolehan tanah.

Menurut Saarani, sebanyak 63 projek lain yang berjumlah RM267 juta merupakan projek bukan fizikal yang meliputi pembiayaan dana, program-program ICT, kajian serta program latihan.

Artikel Berkaitan:

"Selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menambah baik keperluan pelajar melalui projek peningkatan dan penyelenggaraan kecil, sukacita saya memaklumkan bahawa negeri Perak selesai menyempurnakan projek berkenaan pada 2023.

"Ia membabitkan 795 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan pada tahun lalu dengan peruntukan sejumlah RM55.65 juta," katanya.

Dalam pada itu, sebanyak empat projek pembangunan di bawah kerajaan Persekutuan di negeri ini telah berjaya disempurnakan pada 2023 termasuklah Jambatan Sultan Nazrin Shah di Bagan Datuk, Politeknik Bagan Datuk, kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong dan naik taraf Galeri Pangkor serta kemudahan pelancongan di Dataran Nelayan Pulau Pangkor.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!