Misi menoktahkan miskin tegar

Kemiskinan mungkin sukar untuk dihapuskan sepenuhnya namun ia boleh dikawal dan dibendung sebaiknya jika terdapat sinergi berterusan daripada semua pihak. - Gambar hiasan
Kemiskinan mungkin sukar untuk dihapuskan sepenuhnya namun ia boleh dikawal dan dibendung sebaiknya jika terdapat sinergi berterusan daripada semua pihak. - Gambar hiasan
A
A
A

SEJAK Malaysia merdeka sehingga hari ini, isu membanteras kemiskinan masih lagi ‘melekat’ di setiap dasar dan hala tuju negara, sama ada dalam pelan jangka pendek atau jangka panjang.

Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak telah memulakan langkah ini dengan memperkenalkan beberapa dasar atau doktrin utama negara seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan skim Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sebagai strategi mengatasi kemiskinan dan masalah keselamatan sosioekonomi rakyat, terutamanya Melayu dan Bumiputera.

DEB adalah polisi inklusif yang pertama diwujudkan dengan matlamat membasmi kemiskinan, progresif, dinamik dan selaras dengan hak asasi manusia.

Namun, selepas 52 tahun ia digerakkan sebagai asas kepada agenda pembasmian kemiskinan negara, kita masih lagi berdebat dengan solusi-solusi dan pendekatan baharu untuk menoktahkan isu kemiskinan terutamanya golongan miskin tegar.

Memetik ungkapan daripada Nelson Mandela, “Selagi kemiskinan, ketidakadilan dan ketidaksamaan masih wujud, tiada seorang daripada kita boleh berehat”.

Persoalannya, adakah isu kemiskinan dan ketidaksamaan jurang pendapatan antara rakyat pada hari ini mampu mencapai angka sifar dalam negara menuju status negara berpendapatan tinggi?

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan Malaysia mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi di antara tahun 2026 hingga 2028 hasil daripada pembaharuan semula struktur utama negara.

Kenyataan beliau ini selaras dengan agenda Kerajaan Perpaduan dalam kerangka Ekonomi Madani yang dilancarkan pada Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Ini bermakna kerajaan mempunyai ruang selama tiga tahun lagi untuk memperbaiki kelompangan dalam struktur ekonomi negara.

Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN) Indonesia, Erick Thohir turut menyatakan falsafah Madani yang diterapkan Perdana Menteri hari ini serupa dengan falsafah Presiden Indonesia, Joko Widodo terutama dalam hala tuju pembangunan negara.

Ekonomi Madani bersifat terangkum untuk menangani isu kemiskinan dan jurang pembangunan antara wilayah serta mewujudkan ekosistem yang kondusif dengan nilai tambah yang mampu mencipta peluang pekerjaan berkualiti.

Keyakinan terhadap pelan Ekonomi Madani ini ditambah pula dengan komitmen yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan miskin tegar pada penghujung tahun ini.

Sasaran asal di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menghapuskan miskin tegar adalah menjelang tahun 2025 namun telah disingkatkan pada tahun ini.

Ini akan mendorong jentera kerajaan terutamanya agensi-agensi di setiap negeri untuk melipatgandakan usaha untuk mencapai sifar miskin tegar.

Sejarah juga telah memperlihatkan sisi sebenar Datuk Seri Anwar sebagai seorang pejuang rakyat yang sering membela nasib orang miskin.

Beliau tidak kekok untuk mewakili suara rakyat kerana beliau sentiasa menyelami dan bergelumang dengan corak kehidupan masyarakat marhaen.

Ketika Anwar bergiat aktif dalam persatuan pelajar di Universiti Malaya, beliau telah terlibat dalam demonstrasi pada tahun 1974 bagi memperjuangkan nasib petani miskin di Baling, Kedah ketika itu.

Anwar yang turut membantu penubuhan Amanah Ikhtiar Malaysia berkembang sejak tahun 1987 kini telah menjadi salah satu platform untuk membantu golongan miskin keluar daripada kepompong kemiskinan.

Kerajaan ini sudah berusia hampir satu tahun, pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan bagi membendung dan mengawal ‘penyakit’ kemiskinan ini daripada terus melarat.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta untuk membasmi kemiskinan menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

IPR yang dilancarkan pada 26 Februari lalu memfokuskan tiga model iaitu Inisiatif Usahawan Tani (Intan), Inisiatif Usahawan Makanan (Insan) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan).

IPR dilihat menjadi formula teras untuk meningkatkan pendapatan kumpulan miskin tegar, iaitu mereka yang berpendapatan di bawah RM1,198.

Hasilnya, laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 (HIES 2022) oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) menyatakan bilangan isi rumah miskin tegar telah menurun kepada 0.2 peratus (18,445 isi rumah) berbanding 0.4 peratus pada 2019.

Data daripada DOSM ini merupakan data rasmi yang diguna pakai untuk mengukur jumlah miskin tegar berbanding pangkalan data e-Kasih.

Dalam masa yang sama, Kerajaan Perpaduan turut memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion dalam Kajian Separuh Penggal RMK12 untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar.

Pembangunan projek-projek kecil terutama di kawasan luar bandar ini mampu memberi kesan pengganda atau multiplier effect kepada kumpulan pekerja yang berpendapatan rendah sekali gus merapatkan jurang pendapatan yang semakin melebar.

Menyentuh mengenai kemiskinan di luar bandar, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut bertanggungjawab mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar yang kini berada pada paras 12 peratus.

Empat program utama yang giat dilaksanakan oleh KKDW kini adalah Program Peningkatan Pendapatan (PPP), Program Latihan dan Kemahiran Kerjaya (PLKK), Program Desa Lestari dan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek).

Ketika artikel ini ditulis, kerajaan mempunyai kurang dua bulan sahaja lagi untuk menoktahkan miskin tegar.

Pada 6 November lalu, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri telah bersetuju terhadap pemberian bantuan tunai khas secara bulanan melepasi paras garis kemiskinan (PGK).

Pemberian ini khusus untuk kumpulan isi rumah yang tidak berkemampuan menyertai aktiviti menjana pendapatan atas faktor umur dan kesihatan.

Langkah ini dilihat lebih realistik kerana kerajaan tidak boleh bersandarkan hanya kepada data, namun harus melihat dari aspek realiti kehidupan rakyat.

Peralihan subsidi pukal kepada subsidi bersasar yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan juga menjadi faktor utama kepada kekuatan kewangan kerajaan untuk memberi bantuan tunai secara bulanan.

Kerajaan Malaysia juga boleh mencontohi tindakan kerajaan China dalam menurunkan kadar kemiskinan tegar.

Pada 1990, 750 juta penduduk di China hidup di bawah garis kemiskinan. Selepas hampir 30 tahun, jumlah miskin tegar di China menurun sehingga mencatatkan kira-kira 7.2 juta populasi.

Kemiskinan mungkin sukar untuk dihapuskan sepenuhnya namun ia boleh dikawal dan dibendung sebaiknya jika terdapat sinergi berterusan daripada semua pihak.

Keazaman yang ditonjolkan oleh Perdana Menteri seharusnya menjadi ikutan oleh semua kementerian dan agensi-agensi berkaitan untuk merealisasikan harapan menoktahkan miskin tegar pada tahun ini.

Misi ini perlu dijayakan kerana jika bukan sekarang, bila lagi?

*Ikhmal Irwansyah ialah Pegawai penyelidik sebuah Yayasan di ibu negara