Beras Madani: 'Pesawah tak berminat bertani, jika jual harga tetap' - Akmal Saleh

Pesawah mungkin tidak akan lagi berminat untuk melakukan aktiviti pertanian jika bayaran yang diterima tidak setimpal dengan usaha dilakukan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhamad Akmal)
Pesawah mungkin tidak akan lagi berminat untuk melakukan aktiviti pertanian jika bayaran yang diterima tidak setimpal dengan usaha dilakukan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhamad Akmal)
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mendakwa pesawah negara tidak akan lagi berminat untuk melakukan aktiviti pertanian tersebut jika bayaran yang diterima tidak setimpal dengan usaha dilakukan.

Beliau berkata, ini kerana timbul dakwaan bahawa beras putih tempatan akan dibeli dengan harga tetap iaitu RM1,300 untuk satu tan metrik.

“Sebelum ini, ada juga beberapa pesawah kita (jual hasil tanaman) pada harga RM1,300 dan kilang boleh beli RM1,500, RM1,600 ada yang sampai RM1,700.

“RM1,600 campur dengan subsidi RM500, dapatlah dalam RM2,100 untuk pesawah kita.

“Bagaimanapun kalau wujud Beras Madani ini, maka pesawah kita akan dipaksa untuk menjual kepada pengilang hanya dengan RM1,300 (harga tetap) dan tidak boleh diubah. Campurlah dengan semua subsidi yang ada mungkin dapat RM1,800,” katanya menerusi satu hantaran video di laman sosial Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan pada 23 Februari.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan NACCOL, Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku urusetia NACCOL sudah mendapat pengesahan dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bahawa salah satu perkara yang akan diangkat untuk pertimbangan adalah berkaitan bekalan beras negara.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal turut mempersoal tentang dakwaan Beras Putih Malaysia Madani adalah gabungan daripada beras putih import dan beras putih tempatan.

“Beras putih import hari ini yang dijual pada RM3,200 satu tan, dia mintak Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk jual pada RM2,500 pada satu tan sebab nak jimatkan kos itu.

“Jadi akan ada perbezaan RM700 untuk satu tan. Dengan ini saya nak tanya, RM700 satu tan ini, siapa yang serap?” soalnya.

Jelas beliau, negara memerlukan 3 juta tan metrik beras dalam tempoh setahun maka hampir RM210 juta perlu diperuntukkan untuk subsidi susulan penurunan harga jualan beras daripada RM3,200 kepada RM2,500.

Justeru, beliau meminta kepada Anwar untuk menggunakan subsidi berkenaan secara bersasar.

“Bagi kepada golongan yang memerlukan berbanding kita bagi orang kaya, berbanding kita beri orang yang tidak perlu,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28