'Kaji semula atau pinda Akta Keterangan 1950'

Kamal Affandi
Kamal Affandi
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan disyorkan mengkaji semula atau meminda Akta Keterangan 1950 supaya prosedur dan protokol tertentu diwajibkan terhadap setiap bentuk intipan menggunakan sistem komunikasi digital oleh pihak penguat kuasa negara.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, walaupun akta itu menyebut perolehan bukti berbentuk rakaman audio dan perbualan menggunakan telefon bimbit dibolehkan, kewujudan protokol tertentu sangat penting agar kaedah intipan canggih berkenaan tidak disalahgunakan mana-mana pihak.

Menurutnya, pihaknya mengambil contoh kebanyakan agensi penyiasatan di luar negara yang perlu mendapatkan waran pelaksanaan intipan daripada mahkamah sebelum intipan dibuat terhadap pihak sasaran.

"Bagi kebanyakan agensi penyiasatan luar negara, sebelum intipan dilaksanakan, waran perlu diterima daripada pihak mahkamah di mana sebelum itu afidavit perlu dikeluarkan pihak berkuasa untuk pertimbangan mahkamah.

"Sekiranya terdapat kes munasabah, maka waran boleh dikeluarkan mahkamah bagi membenarkan intipan itu supaya bukti terbabit boleh digunakan untuk perbicaraan kes. Protokol dan prosedur sebegini perlu diwujudkan bagi mengelakkan kaedah intipan disalah guna," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berhubung pendedahan rakaman audio konspirasi jenayah tertinggi melibatkan salah guna kuasa, jenayah berhubung skandal mega SRC International, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) serta beberapa kes lain.

Kamal Affandi berkata, secara peribadi, pendedahan dibuat SPRM bagus, namun agensi penguat kuasa itu sepatutnya perlu mendapatkan kesahihan bukti daripada pihak polis terlebih dahulu.

Selain itu beliau menjelaskan, apabila pendedahan intipan audio rakaman perbualan telefon bimbit membabitkan individu penting negara dibuat, secara tidak langsung kerajaan turut mendedahkan teknologi intipan telefon diguna pakai mereka.

Artikel Berkaitan:

"Yang menjadi masalah apabila ia memberi tanggapan sekuriti sistem komunikasi digital membabitkan kegunaan awam juga boleh dipecah masuk.

"Pendedahan sebegini turut memberi perspektif teknologi intipan digunakan kerajaan menjadikan sesiapa sahaja tidak selamat.

"Sungguhpun ianya mahal dan tidak akan mampu dimiliki orang persendirian tetapi ini memberi keraguan munasabah terhadap keselamatan negara sendiri," katanya.

Bagaimanapun Kamal Affandi menegaskan, kaedah pengintipan termasuk rakaman perbualan telefon bimbit boleh diguna pakai agensi penguat kuasa atas faktor keselamatan negara.

"Walaupun segelintir pihak mengatakan matlamat tidak menghalalkan cara tetapi maklumat adalah senjata paling ampuh bagi menangani isu keselamatan sesebuah negara.

"Merujuk tindakan pendedahan audio konspirasi jenayah tertinggi oleh SPRM hari ini, saya fikir sudah tentu Ketua Pengarah SPRM lebih faham justifikasi tindakan dibuat, sama ada dari segi etika, praktikal, strategi atau sudut operasi,"katanya.

Sementara itu, pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berpandangan pendedahan dilakukan SPRM boleh menimbulkan prejudis terhadap kes perbicaraan mahkamah melibatkan skandal 1MDB yang sedang dihadapi Najib ketika ini.

Menurutnya, meskipun bukti rakaman audio perbualan melalui telefon bimbit itu masih boleh digunakan di mahkamah, pihaknya bimbang akan berlaku pencemaran bukti setelah ianya didedahkan kepada umum.

"Mengikut Akta Keterangan 1950 dan prosedur perbicaraan mahkamah, sepatutnya Latheefa kena serah bukti rakaman audio konspirasi jenayah tertinggi itu kepada polis terlebih dahulu kerana itu langkah terbaik.

"Tindakan SPRM itu sebenarnya menimbulkan persoalan dalam kalangan pengamal undang-undang dan saya bimbang ianya boleh memakan diri agensi itu sekiranya audio dibuktikan bukan milik individu dinamakan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: