Hasrat 'Din Katak' bawa Marina pulang tak kesampaian

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Haji Said pada Jumaat. (Gambar kecil: Saiful Faiz)
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Haji Said pada Jumaat. (Gambar kecil: Saiful Faiz)
A
A
A

SEREMBAN - "Tak tahulah sama ada saya dapat berpeluang beraya semula dengan Marina atau tidak kerana usia saya pula sudah tua, entah saya masih hidup atau tidak".

Itu luahan Jamaluddin Malek, 73, yang pernah dilaporkan Sinar Harian tahun lalu berhubung gelora hatinya yang rindukan anak perempuannya itu yang kini menjalani hukuman penjara di Nepal atas kesalahan mengedar dadah sembilan tahun lalu.

Bagaimanapun, warga emas itu kini pergi buat selama-lamanya apabila menemui ajal selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan jalan raya dengan dua kenderaan di Jalan Seremban-Kuala Pilah berdekatan Balai Polis Paroi pada Khamis.

Dia yang mengalami cedera parah pada bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Keadaan motosikal milik Allahyarham selepas terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Jalan Seremban-Kuala Pilah berdekatan Balai Polis Paroi pada Khamis. Laporan Sinar Harian berkenaan usaha Allahyarham demi Marina
Keadaan motosikal milik Allahyarham selepas terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Jalan Seremban-Kuala Pilah berdekatan Balai Polis Paroi pada Khamis. Laporan Sinar Harian berkenaan usaha Allahyarham demi Marina

Perginya lelaki yang dikenali sebagai 'Din Katak' itu, mengingatkan penduduk Seremban khususnya di Ampangan bagaimana bersungguhnya Allahyarham mencari dana untuk Marina.

Dia juga terkenal dengan baju Jalur Gemilang dan hiasan motosikalnya setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos.

Salah seorang anak Allahyarham, Saiful Faiz Jamaluddin, 36, berkata, hasrat ayahnya untuk membawa pulang Marina nampaknya tidak kesampaian.

Artikel Berkaitan:

"Arwah selalu cakap pada saya kalau ada duit dia nak ajak pergi tengok kakak dan menjadi hasrat dia juga untuk tengok kakak dibawa pulang ke Malaysia, jalani hukuman di sini.

"Tapi nampaknya semua itu tak kesampaian kerana ayah telah tinggalkan kami. Tak tahulah siapa yang boleh tolong kami, kerana ayah dah tak ada," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Selain itu katanya, Allahyarham disifatkan sebagai bapa yang baik dan sangat mengambil berat perihal anak-anak.

Tambahnya, sepatutnya selepas Aidilfitri nanti Allahyarham merancang untuk mengadakan kenduri kahwin untuknya, tetapi ia juga tidak kesampaian.

"Kali terakhir saya jumpa ayah pada 2 Februari lalu ketika majlis akad nikah saya di Kelantan dan ayah dah beritahu nanti majlis kenduri saya buat selepas raya.

"Tapi dia dah 'pergi' dulu," ujarnya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Makam Haji Said
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Makam Haji Said

Menurut Saiful Faiz, dia difahamkan ketika kejadian Allahyarham dalam perjalanan ke Kampung Panchor Jaya di Seremban untuk menziarahi anaknya yang tidak sihat.

Sinar Harian enam tahun lalu turut melaporkan usaha Allahyarham dengan sokongan Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon ketika itu untuk mengumpulkan tanda tangan orang ramai bagi menyokong petisyen meminta kerajaan negara itu mempertimbangkan untuk membenarkan anak sulungnya itu menjalani baki hukuman penjara di Malaysia.

Difahamkan Marina kini mempunyai baki 11 tahun hukumannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Preve yang dipandu seorang lelaki berumur 32 tahun dari arah Seremban menuju ke Kuala Pilah yang berada di lorong kanan tiba-tiba menghimpit ke kiri.

"Kemudian Proton Preve itu melanggar bahagian pintu pemandu kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki berumur 33 tahun di lorong tengah.

"Akibat perlanggaran itu, Perodua Myvi dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke kiri sebelum melanggar motosikal Modenas Kriss yang ditunggang mangsa di lorong kiri," katanya.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Makam Haji Said di Sikamat kira-kira jam 4 petang pada Jumaat.