KL City ibarat 'gali lubang tutup lubang'

Khalid (tengah), Stanley Bernard (kanan) dan Nokman (kiri) semasa sidang akhbar di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Jumaat.
Khalid (tengah), Stanley Bernard (kanan) dan Nokman (kiri) semasa sidang akhbar di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

TEKA-TEKI mengenai tunggakan gaji para pemain Kuala Lumpur City (KL City) yang didakwa tertunggak selama empat bulan akhirnya terjawab.

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad berkata, tunggakan sebenar ialah dua bulan melibatkan Oktober dan November 2023 berjumlah RM2 juta.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan tempoh bayaran tersebut boleh dilunaskan kepada pegawai pasukan dan pemain kerana masih menunggu dana tajaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi musim 2024.

“Jumlah hutang keseluruhan berjumlah RM2 juta. Selama dua bulan iaitu Oktober dan November seperti termeterai dalam kontrak.

“Perubahan jadual liga juga membuatkan kita perlu membayar gaji untuk Disember dan perbincangan giat dijalankan dengan pemain,” kata dalam sidang akhbar di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard dan Setiausaha KLFA, Nokman Mustaffa.

Beliau menjelaskan, pihak pengurusan terpaksa menggunakan konsep 'gali lubang tutup lubang' yang telah diamalkan sejak tiga tahun lalu untuk terus kekal kompetitif pada kempen musim akan datang.

“Mungkin ia tidak dilihat bagus (kerana guna dana tahun ini) tetapi konsep itulah yang kita lakukan sejak beberapa musim lepas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Khalid menjelaskan ketika menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, beliau telah meluluskan bajet RM10 Juta melalui DBKL buat 'The City Boys' namun berkurang kepada RM5 Juta pada tahun 2021 dan 2022.

“Pemilihan jurulatih dan pemain berlangsung mengikut bajet (RM10 Juta) namun berdepan kekangan memasuki tahun berikutnya.

“Kita berada dalam kesempitan selepas pengurangan bajet. Kita berjaya survive pada tahun 2020, namun berkurangan pada tahun 2021 dan 2022.

“Pada tahun 2022, rakan kongsi yang dipilih oleh menteri gagal menjalankan tanggungjawab dan mendapat pelbagai insentif namun kewangan tidak masuk kepada pasukan,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi tahun 2023, kerjasama dengan Rinani tidak dapat dipenuhi seperti yang dirancang sungguhpun pada awalnya menjanjikan 60 peratus, namun tidak berterusan hingga akhirnya.