PDRM, pihak berkuasa agama pantau aktiviti Mawla Amin, pengikut

Saifuddin Nasution ketika sidang media di Kementeriannya pada Rabu. Foto Bernama
Saifuddin Nasution ketika sidang media di Kementeriannya pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri sekiranya berlaku pelanggaran enakmen negeri membabitkan Mawla Mohamed Amin al-Hassani dan pengikutnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan salah laku lelaki warga Algeria itu.

"Setakat ini tiada (laporan), kalau terdapat pelanggaran di dalam aktiviti keagamaan dan enakmen, polis akan bekerjasama untuk mengambil tindakan bersesuaian," katanya ketika sidang akhbar di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Rabu.

Beliau berkata, semakan mendapati lelaki yang mendakwa nasab Rasullullah SAW ke-38 itu memasuki negara ini menggunakan pas sosial.

"Saya mengesahkan beliau keluar masuk ke negara ini menggunakan pas sosial yang mana boleh berada dalam tempoh 90 hari.

"Rekod juga menunjukkan beliau seorang warga Algeria yang menggunakan pasport Perancis," jelas Saifuddin.

Menurutnya, PDRM akan sentiasa memantau aktiviti individu berkenaan dan pengikutnya.

Pada Selasa, media melaporkan lelaki itu atau nama sebenarnya Mohamed Amin Ouradj berada di bawah radar PDRM selepas dipercayai membuat kutipan dana awam secara haram di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu pada perkembangan berbeza, Saifuddin memaklumkan pindaan Perlembagaan berkenaan kewarganegaraan dijangka dibentangkan di dalam mesyuarat Jemaah Kabinet pada 8 Mac depan.

"Kita harap ia sempat dibentang di Parlimen tahun ini tetapi bergantung pembentangan saya kepada Jemaah Kabinet,” katanya sambil menambah pandangan semua pihak diambil kira di dalam proses pindaan itu.

TAMAT