MBPJ sedia bantuan kembali ke sekolah

Mohamad Zahri bergambar bersama penerima bantuan.
Mohamad Zahri bergambar bersama penerima bantuan.
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meneruskan inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak menerusi program ‘Jom Shopping Kembali Ke Sekolah’.

Pada Ahad, seramai 60 keluarga B40 yang berdaftar di bawah eKasih menerima baucar bernilai RM300 bagi membeli kelengkapan persekolahan di pasar raya Mydin USJ, Subang Jaya.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, inisiatif itu merupakan khidmat sosial MBPJ dalam memberikan hak kanak-kanak untuk mengakses pendidikan terutama komuniti Petaling Jaya yang memerlukan.

Menurutnya, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban keluarga kurang kemampuan khususnya dalam kalangan mereka yang mempunyai tanggungan, anak bersekolah ramai.

"Setelah dibuat kajian, kadar bantuan ditingkatkan daripada RM250 ke RM300 pada tahun ini dengan mengambil kira harga barangan yang naik.

Mohamad Zahri (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan baucar Jom Shopping Kembali Ke Sekolah.
Mohamad Zahri (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan baucar Jom Shopping Kembali Ke Sekolah.

"Untuk masa hadapan, kita akan lihat keadaan, kadar akan ditambah jika ada keperluan," katanya pada program Jom Shopping Kembali Ke Sekolah di Mydin USJ pada Ahad.

Penerima terdiri penduduk berdaftar eKasih melibatkan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, Lembah Subang, Petaling Jaya Selatan (PJS) dan Desa Mentari.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Zahri berkata, program juga sebagai menyokong Rancangan Selangor Pertama (RS-1) iaitu bagi memperkasa sokongan kebajikan sosial yang disasarkan kepada kumpulan rentan.

Beliau berkata, MBPJ turut mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas percuma pelajar ke sekolah.

"MBPJ belum menyediakan bantuan tambang bas sekolah namun terdapat bas percuma PJ City disediakan membabitkan laluan khas untuk pelajar.

"Cuma kemudahan ini belum menyeluruh dan setakat ini terdapat di PJS, babitkan dua buah bas manakala cadangan penambahan laluan tersebut dalam proses kajian," katanya.