[VIDEO] 'Israel, jangan perasan' - Saifuddin

A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sekali lagi membidas dakwaan kononnya Malaysia berkemungkinan dijadikan destinasi pengecualian visa.

Perkara itu pernah dinyatakan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) daripada Israel, Danny Danon menerusi aplikasi X pada September tahun lalu.

Saifuddin berkata, tujuan hantaran yang dibangkitkan semula kali ini dianggap hanya mahu mencipta naratif jahat dan fitnah ke atas dirinya serta kerajaan.

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution

“Kehadiran saya seperti dalam gambar tersebut adalah atas kapasiti sebagai salah satu delegasi dan mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Debat Umum Sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

“Israel, jangan perasan. Sewaktu ucapan di UNGA, Anwar jelas mengkritik sekeras-kerasnya tindakan Israel di hadapan semua!” katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Jumaat.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata demikian sebagai respons kepada hantaran di X baru-baru ini yang memuat naik kembali tangkap layar gambar perkongsian semasa beliau berada di persidangan tersebut dan Danny turut menyatakan rasa gembira di atas kehadirannya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28