[VIDEO] Tiada makna bangunan mencakar langit jika rakyat kelaparan - Sultan Nazrin

A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar kerajaan memberi perhatian serius terhadap usaha membasmi kemiskinan di negara ini.

Baginda bertitah, kemajuan dan pembangunan dicapai seperti bangunan megah mencakar langit tidak akan memberi sebarang makna sekiranya masih ada rakyat yang terpaksa mengikat perut, mencatu makanan dan tidur berbumbung langit.

"Selagi ada rakyat yang miskin, usaha membasmi kemiskinan wajib diteruskan. Agenda menoktahi kemiskinan menjadi salah satu matlamat untuk menjamin kesejahteraan sosial rakyat.

"Usaha pembasmian kemiskinan bukan sekadar memberi fokus kepada peningkatan pendapatan, tetapi turut mengambil kira kualiti dan kesejahteraan hidup; direalisasikan dengan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang kukuh serta perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik," titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak ke-15 di sini pada Jumaat.

Sultan Nazrin bertitah, menoktahi kemiskinan tegar telah dijadikan fokus utama kerajaan Perak di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 dengan matlamat mengagihkan kekayaan negeri seadil-adilnya untuk dinikmati setiap rakyat.

Kata baginda, berdasarkan data eKasih, jumlah kemiskinan tegar yang dikunci pada 31 Januari 2023 seramai 9,402 ketua isi rumah dan sehingga 31 Disember 2023, jumlah tersebut menurun 58 peratus kepada 3,911 ketua isi rumah.

"Penurunan angka kemiskinan tegar ini disumbangkan oleh pelbagai faktor termasuk usaha dan inisiatif pentadbiran daerah serta semua agensi pemberi bantuan yang memberikan komitmen tinggi.

"Usaha membasmi kemiskinan yang dirintis oleh kerajaan beta ini telah menyinarkan cahaya keyakinan.

Artikel Berkaitan:

"Semoga melalui kerjasama proaktif pelbagai pihak merangkumi sokongan badan-badan bukan kerajaan, tidak ada rakyat beta yang terpinggir daripada menikmati hasil kemakmuran negeri," titah baginda.

Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.
Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.

Terdahulu, baginda dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim tiba di dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan kira-kira jam 9 pagi disambut Speaker DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Turut menyambut keberangkatan baginda berdua ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak dengan iringan Pancaragam Akademi Tentera Udara Diraja Malaysia, Ipoh di bawah pimpinan Leftenan Mohd Hanif Che Razak.

Sultan Nazrin kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Divisyen berpangkalan di Kem Sangro Taiping diketuai Mejar Mohd Nurul Hasan.

Selesai istiadat berkenaan, Sultan Nazrin diiringi ke Kamar Diraja sebelum ke Dewan Mesyuarat untuk menyampaikan titah ucapan perasmian.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28