Enam cedera nahas tiga kenderaan

Keadaan ketiga-tiga kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut. - Foto BBP Mersing
Keadaan ketiga-tiga kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut. - Foto BBP Mersing
A
A
A

MERSING – Enam cedera manakala dua lagi terselamat dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Jalan Johor Mersing – Felda Tenggaroh, pada malam Khamis.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohamed Zainuddin Ahmad dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan pada jam 9.01 malam.

Katanya, satu Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melibatkan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dengan 11 anggota dari BBP Mersing dihantar ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, Proton Satria Neo dan Toyota Vios.

"Nahas mengakibatkan pemandu Proton Satria Neo tersepit dan anggota bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak perubatan di lokasi untuk tindakan selanjutnya.

"Lima mangsa yang berada di dalam Perodua Alza turut cedera dan berjaya dikeluarkan oleh orang awam serta dihantar ke hospital dengan ambulans sebelum PKO tiba. Bagaimanapun, pemandu dan penumpang Toyota Vios selamat," katanya.

Operasi ditamatkan pada jam 10.53 malam.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: