KPWKM usaha semak peruntukan bantuan OKU

Town Hall Rakyat bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Khamis. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Town Hall Rakyat bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Khamis. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan berusaha sebaik mungkin untuk menyemak peruntukan bantuan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, meskipun belum dapat dipastikan peruntukan tersebut, pihaknya akui memerlukan perbincangan daripada kementerian-kementerian utama atau agensi yang lain terlebih dahulu.

“Saya tak dapat janji apa-apa buat masa ini, cuma kita mendengar dan akan usahakan sebab sebelum ini daripada RM190 digandakan kepada RM300 pun usaha kita juga.

“Memang ia tak cukup, sekarang dapat pula RM500 untuk anak atau ahli keluarga yang memerlukan bantuan.

“Dari segi sumber kewangan, peruntukan ini memerlukan perancangan dan kita akan mengemukakannya kalau permintaan didengari,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan pengunjung menerusi sesi soal jawab dalam program ‘Town Hall Rakyat’ secara langsung bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini.

Program yang dihoskan oleh pelakon dan pelawak popular, Fikry Ibrahim itu turut dihadiri Presiden OKU Sentral, Datuk Dr Ras Adiba Radzi; Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi; Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub bersama Penasihat Bersama, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli dan Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Santubong terbabit memaklumkan, pihaknya tidak berani untuk menyatakan sebarang komitmen berhubung perkara itu kerana terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diambil kira sebelum memutuskan jumlah perbelanjaan bulanan.

Artikel Berkaitan:

“Golongan mendapat bantuan bukan orang miskin, tetapi orang yang layak. Mereka bukan miskin, namun oleh kerana terlalu banyak tanggungan, perkara ini perlu dilihat.

“Sebab itu kita perlu tahu SOP supaya dapat mengambil kira semua perkara ini,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28