Seimbang khidmat wakil rakyat, kaji semula sempadan DUN

Pandak (kanan) melihat keadaan rumah salah seorang warga emas ketika ziarah kasih di Kampung Pekajang pada Khamis.
Pandak (kanan) melihat keadaan rumah salah seorang warga emas ketika ziarah kasih di Kampung Pekajang pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Persempadanan semula membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu diusulkan dalam persidangan DUN bagi memberi keseimbangan kepada perkhidmatan wakil rakyat di bandar dan luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, kawasan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi dengan jumlah pengundi lebih daripada 80,000 perlu disempadankan semula.

"Bagi DUN Kota Iskandar terdapat lebih 120,000 pengundi, jumlah yang jauh lebih tinggi berbanding beberapa DUN lain di kawasan luar bandar seperti DUN Tanjung Surat, Layang-layang dan Machap yang mempunyai sekitar 30,000 pengundi sahaja.

"Itu baru jumlah pengundi, jumlah penduduk di kawasan itu dianggarkan hampir 400,000 orang, jurang ini menyebabkan pembahagian peruntukan tak seimbang, malah sebagai wakil rakyat sukar untuk menjaga kawasan terlalu besar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Ziarah Kasih di Kampung Pekajang di sini, pada Khamis.

Januari lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan tidak merancang untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah, berikutan lat tempoh yang masih berkuat kuasa.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, bagi Sarawak, SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan tersebut.

Beliau berkata urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun dari tarikh siapnya kajian terdahulu atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau DUN.

Artikel Berkaitan:

Pandak menambah, terdapat beberapa DUN di negeri ini yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi terutama di kawasan bandar antaranya Kota Iskandar, Tiram, Puteri wangsa, Kulai, Permas dan Skudai.

"Isu persempadan semula kawasan DUN ini telah dibincangkan peringkat parti sebelum ini namun ia belum lagi diusulkan di Mesyuarat Persidangan DUN.

"Usul itu boleh diadakan dalam persidangan DUN pada bulan depan dan sempat dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16)," ujarnya.

Jelasnya lagi, persempadanan semula DUN boleh dibuat mengikut kesesuaian sama ada dipecahkan kepada dua atau tiga kawasan.

"Sebagai contoh ada Parlimen di Perlis yang mempunyai lima kawasan DUN dibawahnya manakala Iskandar Puteri yang mempunyai kira-kira 230,000 pengundi hanya ada dua DUN sahaja.

"Bagaimanapun, saya akan ikut keputusan parti, Jika UMNO cakap untuk bawa usul ini, kita akan akur, dan harapnya akan sempat untuk PRU-16.

"Soal beri kelebihan pada parti atau tidak, itu soal lain. Ada parti yang utamakan kepentingan dan hak masing-masing, namun kita kena lihat dari aspek khidmat terbaik pada rakyat. Jika jumlah pengundi terlalu tinggi, tak dapat berikan 100 peratus," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!