71.62 tan metrik limau mandarin dari China dirampas

Sebanyak 71.62 tan metrik limau mandarin dirampas Maqis Pulau Pinang Sabtu lalu.
Sebanyak 71.62 tan metrik limau mandarin dirampas Maqis Pulau Pinang Sabtu lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 71.62 tan metrik limau mandarin bernilai RM321,420 di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini Sabtu lalu.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, buah-buahan itu didapati cuba dibawa masuk dari China tanpa mematuhi syarat import menggunakan tiga buah kontena di pangkalan berkenaan.

Menurutnya, selain itu, label pada produk pertanian itu juga didapati tidak mematuhi spesifikasi syarat wajib.

"Kita telah membuat pemeriksaan terhadap tiga buah kontena dan mendapati ia mengandungi 71.62 tan metrik limau mandarin. Selepas pemeriksaan lanjut, kita mendapati produk pertanian itu tidak mematuhi syarat wajib 3P iaitu pelabelan, penggredan dan pembungkusan seperti ditetapkan Maqis dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Pengimport ada mengisytiharkan jenis barangan tersebut tetapi label pada produk tidak mematuhi spesifikasi syarat wajib 3P. Pengimport telah diambil tindakan undang-undang dan diberi peringatan agar mematuhi syarat pengimportan yang ditetapkan," katanya melalui kenyataan medianya tadi.

Beliau berkata, tindakan mengimport keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat import seperti dinyatakan dalam permit, lesen dan perakuan yang sah adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Jika sabit kesalahan, pengimport boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Kita sentiasa melakukan pemeriksaan di pintu masuk bagi keluaran pertanian yang diimport ke dalam negara supaya pengimport mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.

Artikel Berkaitan: