Lima tahun Najib tidak pernah lihat penyata kewangan akaun bank

Najib ketika hadir ke Mahkamah Tinggi hari ini.
Najib ketika hadir ke Mahkamah Tinggi hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaku tidak pernah melihat penyata kewangan akaun peribadi kerana tidak dimaklum oleh bekas ketua setiausaha sulitnya.

Najib berkata, beliau tidak mempersoalkan sumber dana dalam akaun banknya pada bekas ketua setiausaha sulitnya, Azlin Alias.

Ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram, Najib berkata, beliau menaruh kepercayaan kepada Azlin dan beranggapan ia dari sumber yang sah.

Beliau berkata, bekas ketua setiausahanya merahsiakan kemasukan wang sebanyak RM42 juta ke akaun banknya.

Sithambaram: Datuk Seri tahu, apa alasan Azlin, merahsiakan RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun itu.

Najib: Dia tidak memberitahu saya mengenai perkara itu

Sithambaram: Dia merahsiakannya, termasuk penyata kewangan tahunan?

Najib: Ya, dia tidak memberitahu saya mengenai wang RM42 juta itu atau penyata baki akaun bank dari tahun 2011 hingga 2015. Dia hanya maklum, sama ada saya mempunyai baki yang cukup untuk mengeluarkan cek.

Artikel Berkaitan:

Sithambaram: Adakah anda memberitahu mahkamah, dari masa anda membuka akaun anda pada tahun 2011 hingga Mac 2015, anda tidak pernah melihat penyata bank sendiri?

Najib: Ya, ia tidak pernah dihantar kepada saya.

Pada 11 November tahun lalu, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana SRC International.

Mahkamah membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Perbicaraan hari ini yang memasuki hari ketujuh pihak pendakwaan membuat pemeriksaan balas terhadap Najib di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali disambung petang ini.