Influenza: KPM pantau wabak, tentu penutupan sekolah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti perkembangan terkini wabak influenza A di semua institusi pendidikan khususnya di sekolah.

Sehingga kini, KPM menerima laporan penutupan sekolah-sekolah di Pulau Pinang, Selangor dan beberapa buah negeri lain susulan beberapa murid disahkan positif influenza A.

KPM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan pemantauan berterusan di sekolah-sekolah terlibat.

"KPM juga mengingatkan pihak sekolah supaya mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengawalan Penularan Wabak Influenza A dikeluarkan.

"Operasi penutupan sekolah hanya akan dibuat setelah mendapat nasihat daripada pihak KKM," katanya.

KPM dalam kenyataannya turut mengingatkan sekolah untuk memantau murid atau warga sekolah yang dijangkiti wabak terbabit.

Menurutnya, sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan, mangsa perlu diasingkan, berhubung dengan ibu bapa untuk dihantar pulang bagi mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.

"Pengetua dan guru besar hendaklah sentiasa mewujudkan kesedaran penyakit ini kepada semua warga sekolah dengan mengamalkan amalan kebersihan diri yang sempurna," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu lagi, ibu bapa juga diharap peka terhadap kesihatan anak-anak dan tidak menghantar anak yang sakit ke sekolah.

"KPM memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas dan serius bagi memastikan kesihatan murid-murid dan warga sekolah sentiasa terjamin," katanya.