KPM sentiasa utamakan keselamatan di sekolah

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying (dua, kanan) diberi penerangan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lanchang, Noor Azian Ahmat (kanan) semasa melawat sekolah berkenaan pada Isnin. - Foto Bernama.
Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying (dua, kanan) diberi penerangan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lanchang, Noor Azian Ahmat (kanan) semasa melawat sekolah berkenaan pada Isnin. - Foto Bernama.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa mengutamakan keselamatan membabitkan infrastruktur dan bangunan di semua sekolah bagi memastikan warga sekolah sentiasa dalam keadaan selamat ketika berada di institusi pendidikan itu.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata, usaha itu juga antara lain bagi memastikan murid dan pelajar di sekolah berasa selesa untuk mengikuti sesi pembelajaran mereka.

"Selain keselamatan dan memastikan murid dan guru selamat di sekolah, KPM juga mengambil berat berhubung isu sekolah daif serta mengalami kerosakan (infrastruktur dan peralatan sekolah) dengan kita akan cuba ambil tindakan segera bagi membaikinya demi keselesaan warga sekolah.

"Setiap sekolah di bawah KPM juga diberikan peruntukan sebanyak RM70,000 seperti diumum sebelum ini bagi kerja-kerja penyelenggaraan tandas sekolah demi keselesaan pelajar. Kita di KPM mengambil kira semua perkara berkaitan keselamatan dan keselesaan tersebut demi anak-anak kita," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lanchang, di sini pada Isnin.

Lawatan itu bagi melihat kerja membaiki dan menaik taraf keadaan siling serta bumbung 10 buah kelas yang telah siap dibaiki di SK Batu Lanchang dan turut hadir Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Sementara itu, Hui Ying berkata, KPM menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi membaiki dan menaik taraf keadaan siling serta bumbung 10 buah kelas yang rosak dan reput di SK Batu Lanchang bagi memastikan murid-murid di situ dapat mengikut kelas mereka dalam keadaan selamat dan selesa.

Katanya, kerosakan itu dikesan pada Mei lepas dan murid di 10 kelas terbabit kemudiannya mengikuti sesi pembelajaran dengan menumpang di kelas-kelas lain sepanjang proses membaiki dan menaik taraf selesai.

"Saya dimaklumkan murid-murid dari kelas yang terjejas akibat masalah siling dan bumbung itu telah kembali ke kelas masing-masing hari ini dan tidak perlu menumpang kelas lain lagi selepas kerja-kerja oleh kontraktor siap sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, Ramkarpal berkata, beliau mendapat maklumat berhubung kejadian itu daripada guru besar sekolah dan telah datang melawat untuk melihat kerosakan tersebut serta menyalurkan RM49,590 bagi menambah peruntukan untuk kerja-kerja membaiki berkenaan.

"Sekolah ini di bawah Parlimen saya dan ia merupakan sebuah sekolah yang lama iaitu mula beroperasi sekitar 1969. Kerosakan siling dan bumbung itu dipercayai kerana ia telah lama dan pejabat saya membantu dengan menyalurkan bantuan supaya ia dapat dibaiki segera demi kemudahan murid-murid di sini," katanya.

SK Batu Lanchang mempunyai 900 murid dan 65 guru bertugas dengan terdapat 31 buah bilik darjah. - Bernama.