Kondo mewah jadi stor simpan dadah

Mohd Kamarudin menunjukkan dadah yang dirampas.
Mohd Kamarudin menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan tiga kondominium mewah sebagai stor menyimpan bekalan dadah terbongkar selepas diserbu polis di Cheras, pada Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 41 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah jenis syabu dan ganja dianggarkan bernilai RM 7.6 juta.

"Kita telah menahan dalang serta penjaga stor, mereka menjadikan kondominium itu sebagai stor simpanan dadah bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

"Ketika serbuan mereka sedang membungkus dadah sebelum dihantar ke Sabah dan Sarawak melalui perkhidmatan kurier," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, pada Rabu.

Ujar beliau, pihaknya merampas 134.87 kilogram (kg) dadah jenis syabu, erimin 5 (8.25 kg), ekstasi (25.54 kg), ketamin (8.26 kg) dan serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) (6.05 kg).

"Jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 850,000 penagih dadah," katanya.

Katanya, turut dirampas dalam serbuan itu adalah sepucuk pistol tiruan jenis airsoft bersama dua kelopak.

"Sindiket itu dipercayai mula aktif sejak pertengahan tahun lalu, bekalan dadah itu disyaki diperoleh dari Myanmar sebelum diseludup ke Thailand, kemudian dibawa masuk ke Malaysia dengan menggunakan 'transporter' melalui jalan darat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Kamarudin berkata, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta),1988, dimana JSJN telah menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM163,300.

Mohd Kamarudin pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, pada Rabu.
Mohd Kamarudin pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, pada Rabu.

"Kita telah menyita dua buah kenderaan jenis Mercedes Benz E350 dan Hyundai Sonata serta jam tangan jenama Apple," katanya.

Beliau berkata, semakan rekod mendapati hanya seorang suspek mempunyai 22 rekod lampau atas kes jenayah dan dadah.

"Saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah," ujarnya.

Mohd Kamarudin berkata, pihaknya sedang mengesan saki baki sindiket berkenaan yang masih bebas untuk dibawa ke muka pengadilan.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 15 Februari hingga 21 Februari, sebelum disambung reman tujuh hari lagi sehingga 27 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Saya berharap masyarakat dapat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline JSJN ditalian 012-2087222," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28