Apartmen jadi sarang proses dadah diserbu

Antara dadah yang dirampas menerusi serbuan di sebuah unit apartmen di Jalan Kuchai Maju dekat sini pada Sabtu.
Antara dadah yang dirampas menerusi serbuan di sebuah unit apartmen di Jalan Kuchai Maju dekat sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan pengedaran dadah yang berselindung di sebuah unit apartmen di Jalan Kuchai Maju dekat sini terbongkar menerusi serbuan pada Sabtu.

Serbuan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Brickfields itu turut menahan seorang individu dipercayai terlibat dalam jenayah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek lelaki warga tempatan berumur 25 tahun itu diberkas menerusi serbuan dijalankan kira-kira jam 5 petang.

"Serbuan dijalankan berdasarkan risikan setelah mendapati unit rumah apartmen itu dijadikan tempat memproses serta menyimpan dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

"Turut dirampas adalah dadah jenis methamphetamine seberat 8.16 kilogram dan ketamin dengan anggaran berat 5.37 kilogram," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, turut dirampas adalah beberapa peralatan yang digunakan untuk memproses dadah berkaitan.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dipercayai boleh dibekalkan kepada 28,000 penagih dan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM652,100.

"Suspek yang mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah itu kini direman lima hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan masih dijalankan bagi mengesan beberapa individu lain dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ini.

"Selain itu, siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan yang diperolehi.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan rampasan dadah ini bolehlah menyalurkan maklumat di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!