Inisiatif penstrukturan semula AIAC dilaksanakan secara berfasa - Azalina

Azalina. Foto Bernama
Azalina. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Inisiatif penstrukturan semula Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) akan dilaksanakan secara berfasa melibatkan pembaharuan tadbir urus Pusat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam hantarannya di rangkaian sosial X, Azalina berkata, penstrukturan semula itu turut melibatkan pengenalan Mahkamah Timbang Tara AIAC mengikut pindaan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata penginstitusian Lembaga Penasihat AIAC yang beralih kepada Lembaga Pengarah AIAC, berusaha untuk membuktikan pembangunan strategik Pusat pada masa hadapan.

"Inisiatif penstrukturan ini antara lain akan melibatkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang diamanahkan untuk menguruskan operasi dan pentadbiran harian Pusat,” katanya.

Azalina mengumumkan pemformalan Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Tuan Rumah (HCA) antara kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia Afrika (AALCO) di AIAC Malaysia hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan pencapaian penting bagi AIAC sejak pelantikannya pada 1978 kerana ia menandakan pelancaran rasmi beberapa pembaharuan penting dari aspek tadbir urus, struktur dan pentadbiran.

"Ia sememangnya satu lonjakan luar biasa daripada penjenamaan semula AIAC semasa saya memegang jawatan menteri sebelum ini pada 2018, yang menyaksikan pengantarabangsaan identitinya daripada Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA) ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Malaysia,” katanya.

Azalina berkata agenda pembaharuan institusi mengesahkan dedikasi berterusan kerajaan Malaysia untuk mengukuhkan peranan dan fungsi AIAC, selaras dengan mandatnya sebagai Tuan Rumah di bawah HCA dan pengiktirafan status AIAC sebagai institusi bebas dan berkecuali di bawah AALCO.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata kerajaan juga telah memberi kebenaran supaya AIAC terus menduduki dan menggunakan Bangunan Sulaiman bagi tujuan pengoperasian AIAC bagi mengekalkan pertumbuhan Pusat yang mampan.

"Saya gembira AALCO telah mengiktiraf dan mengalu-alukan inisiatif itu yang selaras dengan piawaian antarabangsa institusi timbang tara yang mantap,” katanya.

Menteri itu juga mengucapkan terima kasih kepada AALCO dan Setiausaha Agungnya, Dr Kamalinne Pinitpuvadol atas sokongan dan sumbangan kepada inisiatif pembaharuan tersebut.

Sementara itu, beliau memberi jaminan kepada AALCO bahawa mempromosikan Malaysia sebagai pusat timbang tara pilihan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan MADANI dalam usaha berterusan untuk meletakkan AIAC dalam kedudukan penting di peringkat pusat timbang tara antarabangsa. - Bernama