Sanggup beratur, berpanas dapatkan nasi percuma

Restoran Wowkawkaw terletak di kawasan perusahaan Bandar Baru Sungai Buloh.
Restoran Wowkawkaw terletak di kawasan perusahaan Bandar Baru Sungai Buloh.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Inisiatif agihan 100 bungkus Menu Rahmah nasi ayam bakar sempena ulang tahun ketujuh penubuhan restoran Wowkawkaw di sini telah menarik orang awam beratur panjang bagi mendapatkan nasi percuma tersebut.

Seorang warga emas, Mansor Wan Chik, 64, merupakan pelanggan pertama yang sanggup berpanas dan beratur kira-kira 30 minit sebelum agihan bermula jam 11.30 pagi.

Mansor orang pertama beratur bagi mendapatkan nasi ayam bakar percuma.
Mansor orang pertama beratur bagi mendapatkan nasi ayam bakar percuma.

Mansor dari Paya Jaras berkata, dia mendapat maklumat agihan percuma daripada media sosial menyebabkannya tidak mahu terlepas peluang menikmati makanan percuma tersebut.

"Alhamdulillah syukur, moga murah rezeki pengusaha yang tidak kedekut menjamu orang ramai dengan Menu Rahmah percuma hari ini.

"Saya harap lebih ramai peniaga melakukan inisiatif sama memperkenal Menu Rahmah bagi membantu masyarakat yang terbeban dengan kos sara hidup ketika ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Antara pelanggan yang beratur bagi mendapatkan nasi ayam bakar percuma pada Isnin.
Antara pelanggan yang beratur bagi mendapatkan nasi ayam bakar percuma pada Isnin.

Seorang lagi pelanggan, Mohd Helmi Ibrahim, 33 berkata, Menu Rahmah sememangnya menjadi pilihannya yang sesekali makan di luar bersama keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mempunyai empat anak. Jadi dengan ada Menu Rahmah ini, boleh sekali sekala makan di luar tapi memang jarang atau sudah lama tidak makan di luar sejak keadaan ekonomi tidak menentu.

"Harap lebih banyak Menu Rahmah diperkenalkan bagi membantu orang awam terutamanya keluarga kurang berkemampuan yang memerlukan," katanya.

Sementara itu pengusaha Wowkawkaw, Najihah Zaidi berkata, program berlangsung selama tiga hari sehingga 18 Oktober itu sebagai menyahut seruan kerajaan menjayakan Menu Rahmah selain inisiatif berkongsi rezeki.

Menurutnya, saban tahun program kongsi rezeki itu dijalankan sebagai kaedah mempromosi restoran keluarga selain menghargai pelanggan yang memberikan sokongan.

"Jika nak ikut perjalanan jatuh bangun perniagaan memang kami hadapi pelbagai cabaran sehingga pernah gerai dirobohkan penguat kuasa beberapa tahun lalu.

" Namun, itu semua kami anggap sebagai pengalaman dalam perniagaan dan selepas itu mengikut saluran undang-undang untuk berniaga secara sah. Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun ketujuh kami beroperasi di kawasan perusahaan Bandar Baru Sungai Buloh," katanya.

Graduan jurusan Bimbingan dan Kaunseling Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, dia memulakan perniagaan sendiri dibantu ahli keluarga ketika masih belajar sebelum perniagaan kian dikenali oleh warga Sungai Buloh dan sekitar.

Najihah bersama nasi ayam bakar yang diagihkan kepada orang awam secara percuma sempena ulang tahun ketujuh Wowkawkaw.
Najihah bersama nasi ayam bakar yang diagihkan kepada orang awam secara percuma sempena ulang tahun ketujuh Wowkawkaw.

"Saya bermula berniaga di khemah sebelum masuk ke kedai dan kini dibantu 13 pekerja beroperasi dari jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari kecuali Ahad.

"Saya perkenalkan Menu Rahmah sejak dilancarkan oleh kerajaan awal tahun ini dan ia mendapat sambutan baik dalam kalangan pengguna khususnya yang bekerja sekitar sini.

"Inisiatif ini diharap dapat membantu orang awam mendapat makanan murah yang sedikit sebanyak mengurangkan beban orang awam yang sedang berdepan peningkatan kos sara hidup dan harga barangan," katanya.