'Keadaan di Gaza makin getir, orang ramai mula minum air kotor'

Tangkap layar perkembangan terkini Nurul Ain menerusi Facebook.
Tangkap layar perkembangan terkini Nurul Ain menerusi Facebook.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita warga Malaysia yang terperangkap di Gaza, Nurul Ain Haron, 37, menjelaskan keadaan persekitarannya semakin getir sehinggakan ada yang sudah mula meminum air kotor kerana ketiadaan bekalan bersih.

Nurul Ain berkata, kanak-kanak dan warga emas di kawasan tersebut merasa tertekan dengan serangan udara tanpa henti ditambah dengan masalah terputus bekalan elektrik dan air.

Menurutnya, situasi sukar itu menyebabkan segelintir daripadanya terpaksa meminta sedekah selain mengambil keputusan untuk melarikan diri atau menumpang di rumah saudara mara yang lain.

"Memasuki hari ke-15, susah untuk saya terangkan sebab memang setiap hari ada serangan, semasa saya sampai ke sini (Gaza) pada suatu masa dulu, tidak seteruk ini.

"Sekarang saya masih sedang menunggu Lintasan Rafah buka untuk keluar dari sini," katanya kepada Sinar Harian menerusi hantaran audio di WhatsApp pada Ahad.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Nurul Ain merayu agar Wisma Putra segera membantu mengeluarkannya dan suami dari negara berkenaan.

Difahamkan, dia ke Gaza pada 1 Oktober lalu untuk mengikuti suaminya, Mohamed Adnan Shaat, 33, yang merupakan warganegara Palestin selepas enam tahun berkahwin.

Ditanya mengenai 20 trak bantuan kemanusiaan mula memasuki sempadan Palestin-Mesir pada Sabtu, individu yang berasal dari Keramat itu memaklumkan, ia merupakan barangan perubatan dan bukannya stok makanan.

Artikel Berkaitan:

Namun, dia mengakui bersyukur kerana ia adalah satu petanda positif yang boleh memberi harapan baharu buat rakyat Palestin di Gaza.

Nurul Ain turut menzahirkan rasa syukur dan ucapan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin serta meminta untuk terus memberikan sokongan buat komuniti di sana.

Dalam pada itu, dia meminta agar orang ramai jelas dengan statusnya sebagai suri rumah dan bukannya seorang doktor perubatan seperti yang digambarkan beberapa media tempatan baru-baru ini.

"Saya Nurul Ain Haron bukan Dr Nurul Ain Latif," ujarnya.