Pengasas Daiso meninggal dunia

Yano mula mengasaskan Daiso pada tahun 1972. - Agensi
Yano mula mengasaskan Daiso pada tahun 1972. - Agensi
A
A
A

TOKYO - Pengasas rangkaian peruncit diskaun Jepun, Daiso Industries, Hirotake Yano meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada usia 80 tahun.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan firma itu pada Isnin, mendiang meninggal dunia pada 12 Februari lalu, manakala majlis pengebumian diadakan secara tertutup dengan kehadiran ahli keluarga terdekat.

“Dengan rasa dukacita kami mengumumkan pemergian Pengasas dan Bekas Presiden Daiso Industries Company Limited, Hirotake Yano,” kata Daiso di laman webnya.

Dikenali sebagai perintis model perniagaan kedai dolar, Yano mempunyai nilai kekayaan bersih kira-kira AS$1.9 bilion (RM9.1 bilion) pada masa kematiannya, menurut Indeks Billionaires Bloomberg.

Selepas menamatkan pengajian dari Universiti Chuo Tokyo pada 1967, Yano menceburi pelbagai pekerjaan termasuk menguruskan perikanan bapa mentuanya sehingga ia muflis sebelum mula menjaja barangan dari belakang sebuah trak pada 1972.

Situasi itu memberinya idea untuk mengenakan bayaran sama rata 100 yen (RM3.19) untuk semua barangannya bagi menjimatkan masa daripada melampirkan tanda harga.

Daiso memperoleh hasil 589.1 bilion yen (RM18.77 bilion) pada tahun berakhir Februari 2023, mempunyai 4,360 kedai domestik dan 990 lokasi di luar negara menjelang akhir Disember lalu. – Agensi

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!