Segerakan pindaan hukuman Akta 655

Dua insiden pencemaran sungai yang berlaku di dalam negara sudah cukup kuat buat SPAN melakukan pindaan segera terhadap Akta 655. - Gambar hiasan 123RF
Dua insiden pencemaran sungai yang berlaku di dalam negara sudah cukup kuat buat SPAN melakukan pindaan segera terhadap Akta 655. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

PADA 12 September 2022, Sinar Harian melaporkan satu penemuan yang mengejutkan di sebuah sungai di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Sungai Rambai di Lukut itu pada awalnya menjadi satu-satunya sungai di Malaysia, menghuni tangga teratas sungai tercemar di Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2019 dan 2020.

Menyingkap punca pencemaran, secara tidak sengaja, wartawan menemui kisah di sebalik sungai yang berwarna hitam, berbau busuk dan mempunyai bangkai haiwan di dalamnya.

Bertindak daripada penemuan mengalirnya anak sungai berwarna merah ke dalam Sungai Rambai, ujian asid deoksiribonukleik (DNA), ternyata antara punca pencemaran Sungai Rambai yang mendorong sungai itu berada di Kelas Lima adalah berpunca daripada pelepasan sisa sembelihan babi melalui kandang ternakan haram di tepi sungai berkenaan.

Pendedahan itu menyebabkan Kementerian Alam Sekitar dan Air melalui menterinya ketika itu, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengarahkan tindakan drastik diambil supaya sungai dicemari babi itu tidak berulang.

Bahkan Satu jawatankuasa khas ditubuhkan kerajaan Negeri Sembilan bagi mengurus isu pencemaran berkenaan selain merangka pembersihan Sungai Rambai dan mengenal pasti tindakan pemusnahan ladang khinzir sedia ada mengikut lunas undang-undang.

Bagaimanapun, kurang dua tahun pendedahan yang dibuat akhbar ini, berlaku lagi kejadian serupa di mana kali ini melibatkan Sungai Air Merah yang memasuki Sungai Kulim di Kedah.

Sama seperti Sungai Rambai, air yang mengalir di situ berwarna hitam yang disyaki air pelepasan sisa aktiviti penternakan melibatkan itik di perkampungan Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Dua kejadian yang berlaku ini sudah cukup kuat buat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melakukan pindaan segera terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Jika dahulu hukuman denda hanya RM500,000, namun draf pindaan dikemukakan SPAN kini meningkat lebih 20 kali ganda menjadi RM15 juta.

Diharapkan dengan pindaan segera itu, tiada lagi berlaku pencemaran sungai bukan sahaja daripada sisa ternakan malah termasuk aktiviti lain seperti industri kecil, bengkel, aktiviti pertanian dan perlombongan.