Harga barang naik, Kuskop mudah cara pinjaman usahawan

Ewon ketika ditemui
Ewon ketika ditemui
A
A
A

KUALA NERUS - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) akan memudah cara pinjaman kewangan terhadap usahawan susulan mengambil kira faktor kenaikan harga barang mentah ketika ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, semua agensi di bawah kementerian itu diminta untuk mempermudahkan urusan pinjaman kewangan lebih besar kepada usahawan di negara ini.

"Sudah tentu ada kriteria dan ada syarat-syarat tetapi saya telah meminta semua agensi memudah cara (urusan pinjaman itu) sebagai contoh SME Bank merupakan bank menyediakan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), jadi siapa lagi bantu kalau bukan mereka (SME Bank) ?

"Malah Bank Rakyat juga harus bantu koperasi dan syarikat kecil dan sederhana ini untuk teruskan perniagaan mereka.

"Sekiranya usahawan itu memerlukan pinjaman ke tahap yang maksimum kerana faktor kenaikan harga barang kepada operasi perniagaan maka sudah tentu Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan memudah cara bagi pihak usahawan tersebut sebagai contoh AIM mempunyai beberapa skim pembiayaan bermula serendah RM5,000 hingga maksimum RM50,000," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sahabat AIM dan Perasmian Pelancaran Produk di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ewon berkata, bagaimanapun bukan mudah agensi-agensi di bawah kementerian untuk membantu memudahcarakan pinjaman tersebut jika ia melibatkan isu perundangan seperti pemilikan tanah, kilang dan sebagainya.

Sementara itu, Ewon berkata, pihaknya juga memudahcarakan dari segi permohonan kredit dan pembiayaan terhadap usahawan yang ingin pulih akibat terkesan dengan pandemik Covid-19 sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedang menambah baik sistem-sistem permohonan yang ada di setiap agensi bertujuan membantu golongan terkesan akibat Covid-19 dan mereka pertama kali berurusan dengan agensi-agensi di bawah (Kuskop)," ujarnya.

Dalam pada itu, Ewon turut menasihati kepada usahawan yang terkesan supaya mengambil inspirasi daripada usahawan lain yang dahulunya pernah menghadapi kesukaran namun kini telah berjaya memulihkan perniagaan masing-masing.

"Bangkit cepat dan terus berusaha. Tanggungjawab kementerian untuk alu-alukan mereka yang berhasrat mulakan perniagaan dengan boleh dapatkan khidmat nasihat dari agensi di bawah kementerian seperti AIM, SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan sebagainya," jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28