Deputi Superintenden, sarjan ditahan positif dadah

Seorang pegawai dan anggota polis ditahan selepas didapati mengambil dadah jenis Benzo dan THC dalam pemeriksaan, pada Jumaat lalu. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohamed Usuf)
Seorang pegawai dan anggota polis ditahan selepas didapati mengambil dadah jenis Benzo dan THC dalam pemeriksaan, pada Jumaat lalu. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohamed Usuf)
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang pegawai dan anggota polis ditahan selepas didapati mengambil dadah jenis Benzo dan THC dalam pemeriksaan, pada Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pegawai yang ditahan berpangkat Deputi Superintenden berusia 39 tahun manakala anggota tersebut berpangkat sarjan berusia 42 tahun.

Menurutnya, kedua-dua polis tersebut bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.

"Ujian saringan air kencing dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman ketika mengadakan mesyuarat di IPD Seberang Perai Tengah.

"Di dalam mesyuarat itu, kesemua pegawai dan anggota yang hadir perlu menjalani ujian saringan air kencing. Bagaimanapun, kedua-duanya telah ditahan selepas ujian saringan air kencing mereka positif," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Isnin.

Mohamed Usuf berkata, kedua-duanya hanya ditahan 24 jam untuk siasatan lanjut.

"Tiada perintah reman dikeluarkan mahkamah berikutan mereka masih aktif dalam perkhidmatan dan boleh hadir pada bila-bila masa untuk siasatan.

"Kedua-duanya masih bertugas seperti biasa berikutan tiada arahan penahanan kerja selain menunggu laporan patologi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, polis membuka dua kertas siasatan iaitu Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan tatatertib.