14 pemandu bas dikesan positif dadah

Lokman melakukan pemeriksaan ke atas salah sebuah kenderaan perkhidmatan perdagangan sempena Ops Khas Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024 di Kuantan pada Rabu.
Lokman melakukan pemeriksaan ke atas salah sebuah kenderaan perkhidmatan perdagangan sempena Ops Khas Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024 di Kuantan pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 14 pemandu bas dikesan positif dadah hasil pemeriksaan dalam Ops Khas Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024 di seluruh negara sehingga Rabu.

Pengarah Kanan Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, pemandu terbabit dikesan mengambil bahan terlarang termasuk syabu, methamphetamine dan ganja hasil pemeriksaan dilakukan di terminal-terminal bas seluruh negara dalam tempoh 21 hari ops tersebut.

Menurutnya, susulan itu, JPJ akan memanggil syarikat pengendali bas berkenaan dan laporan siasatan lengkap akan dikemukakan kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan di bawah Akta 715.

"Tindakan menggantung lesen terhadap pemandu berkenaan akan diambil bawah Seksyen 36 Akta 333 setelah pengesahan lanjut diperoleh daripada pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Ops Motosikal, Kenderaan Perkhidmatan Awam dan Perdagangan di Gambang di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin.

Lokman berkata, menerusi ops khas yang dilaksanakan dalam tempoh 1 hingga 21 Februari (Rabu), pihak JPJ telah melakukan 21,705 pemeriksaan ke atas Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) termasuk bas di seluruh negara.

"Hasil pemeriksaan tersebut, 1,181 notis saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 32 KPA disita.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah notis dikeluarkan ke atas KPA, 266 kes melibatkan teknikal, tiada lesen vokasional (126 kes), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (99 kes), tiada lesen memandu (91 kes), tiada insurans (61 kes) dan lain-lain kesalahan (460 kes)," jelasnya.

Ops Khas Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024 Fasa 2 dijalankan JPJ Pahang bersama agensi sahabat di Kuantan pada Rabu.
Ops Khas Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024 Fasa 2 dijalankan JPJ Pahang bersama agensi sahabat di Kuantan pada Rabu.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya turut mengeluarkan 78 notis saman melibatkan kesalahan utama termasuk potong barisan, potong garisan berkembar, langar lampu isyarat merah, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memandu di lorong kanan secara berterusan.

Pihaknya turut mendapati tiada kes pengusaha pengangkutan awam menaikkan tambang dalam tempoh tersebut.

Sementara itu katanya, Ops Khas Fasa 2 diteruskan pelaksanaannya pada Rabu meliputi pemeriksaan ke atas pelbagai jenis kenderaan bagi memastikan pematuhan peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya.

"Pemeriksaan ke atas KPA juga dilaksanakan bagi memastikan kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam ke arah peningkatan keselamatan, kualiti dan kebolehharapan kepada pengguna.

"JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan mana-mana pemandu yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan," tegasnya.

Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan lebih tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28