Zakaria Kasa meninggal dunia akibat sakit jantung

Jenazah dibawa ke Masjid Al-Mursyidin UPSI untuk dimandi dan disembahyangkan sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kodiang Lama, Kedah untuk pengebumian malam ini. Foto UPSI
Jenazah dibawa ke Masjid Al-Mursyidin UPSI untuk dimandi dan disembahyangkan sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kodiang Lama, Kedah untuk pengebumian malam ini. Foto UPSI
A
A
A

IPOH - Bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zakaria Kasa yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya daripada tuduhan salah guna kuasa pada Khamis lepas meninggal dunia akibat sakit jantung hari ini.

Anak ketiganya Mohd Fauzi, 34, berkata, arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga di Hospital Slim River pada kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

"Arwah sudah beberapa tahun menghidap penyakit jantung.

"Selepas selesai kes di mahkamah pada hari Khamis, arwah pulang ke Tanjung Malim (Muallim) dan dibawa ke hospital itu pada Jumaat lepas kerana tidak sedarkan diri dan menerima rawatan sehingga hari ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, jenazah dibawa ke Masjid Al-Mursyidin UPSI untuk dimandi dan disembahyangkan sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kodiang Lama, Kedah untuk pengebumian malam ini.

Allahyarham yang berkhidmat di UPSI pada 2007 hingga 2018 meninggalkan seorang isteri dan enam anak.

Pada khamis lepas, Mahkamah Rayuan di Putrajaya melepas dan membebaskan Zakaria daripada tuduhan salah guna kuasa dengan memasukkan nama anak lelakinya untuk ditemu duga di universiti berkenaan, 10 tahun lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: