Kedah belum cadang laksana pembenihan awan

Muhammad Sanusi (dua kanan) menyerahkan buku bengkel pengurusan tanah pada Program Amanat Menteri Besar kepada Pentadbiran Tanah Negeri Kedah Tahun 2024 di Dewan Seri Mentaloon, pada Ahad.
Muhammad Sanusi (dua kanan) menyerahkan buku bengkel pengurusan tanah pada Program Amanat Menteri Besar kepada Pentadbiran Tanah Negeri Kedah Tahun 2024 di Dewan Seri Mentaloon, pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah tidak bercadang untuk melakukan operasi pembenihan awan di Kedah dalam masa terdekat walaupun beberapa daerah mengalami cuaca panas.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tiada keperluan untuk melakukan pembenihan awan ketika ini disebabkan sumber air mentah cukup untuk menampung keperluan domestik dan pertanian di Kedah.

Bagaimanapun, beliau mengakui, cuaca panas dialami menyebabkan masalah bekalan air di kawasan tertentu di negeri ini.

"Belum lagi, belum lagi sebab air mentah ada (di Kedah). Air mentah Sungai Muda ada.

"Seperti saya sebut dua minggu lepas, cuaca panas ini akan mengakibatkan masalah air," katanya kepada pemberita selepas Program Amanat Menteri Besar kepada Pentadbiran Tanah Negeri Kedah Tahun 2024 di Dewan Seri Mentaloon, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, cuaca panas berpanjangan dikhuatiri akan menyebabkan masalah bekalan air di kawasan tertentu, misalnya daerah Kuala Muda sementara menunggu Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau siap.

Muhammad Sanusi berkata, beliau mendapati sumber air di Gunung Jerai dan Sungai Tupah semakin kering sejak cuaca panas.

Jelas beliau lagi, kawasan terlibat bergantung kepada sumber air bawah tanah yang terbukti tidak mencukupi menampung keperluan pengguna.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi menasihatkan rakyat Kedah mengamalkan penjimatan air ketika cuaca panas melanda negeri ini.

"Air terawat jangan jirus pokok, jangan basuh kereta. Itu cara nak jimat air lah (sebab) ada yang kawasan-kawasan yang air masuk hujung sistem itu dia masuk apabila tekanan tengah malam.

"Bila kurang penggunaan (dan) tekanan baru (air) sampai ke tempat mereka.Simpan air dalam tangki simpanan (namun) kena belanja sikit beli tangki," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, keadaan kesemua empangan di Kedah dalam keadaan stabil, terkawal dan tidak kritikal.

Muhammad Sanusi turut memberi jaminan bekalan air di Kedah akan terus bertahan untuk menampung keperluan penduduk di negeri ini.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu iaitu berjaga-jaga di sembilan kawasan di Semenanjung Malaysia.

MetMalaysia dalam satu hantaran di laman sosial, Facebook memaklumkan, tujuh daripadanya adalah di negeri Kedah iaitu Langkawi, Kota Setar, Pendang, Yan, Sik, Baling dan Pokok Sena.