JKA bukti kelemahan penjawat awam

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Aduan (JKA) bagi memantau pengendalian aduan kes-kes salah laku agensi-agensi penguatkuasaan menunjukkan indikator integriti penjawat awam masih boleh dipertikaikan.

Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat bagaimanapun berkata, pihaknya tetap menyambut baik penubuhan JKA kerana seiring dengan langkah kerajaan untuk merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Menurutnya, dalam menuju negara maju, Malaysia sepatutnya tidak perlu berdepan dengan masalah integriti apatah lagi yang terlibat dengan agensi penguat kuasa.

“Cuepacs melihat apabila sering ditubuhkan pelbagai jawatankuasa, ia menunjukkan ada kelemahan-kelemahan tertentu di peringkat awal lantikan penjawat awam di setiap agensi penguat kuasa ini.

“Oleh kerana kegagalan mereka ini maka ditubuhkan pelbagai jawatankuasa yang ada, memantau integriti dan sebagainya.

“Walaupun Cuepacs menyambut baik keputusan ini tetapi kita berasa amat malang dan merugikan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat dan kerajaan telah berbelanja untuk menggerakkan agensi penguat kuasa sedia ada namun sekali lagi terpaksa berbelanja untuk menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu.

“Jika integriti dan produktiviti penjawat awam berada dalam landasan betul, tiada keperluan untuk mewujudkan jawatankuasa berkenaan seterusnya boleh menjimatkan kos kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Adnan menyarankan kerajaan menerapkan ‘kit permulaan’ yang lebih tegas dalam pengambilan penjawat awam sebagai anggota penguatkuasaan.