[VIDEO] Gadis Switzerland teruja gagau ikan dalam selut

A
A
A

ALOR SETAR - Aktiviti menggagau ikan dalam kolam berselut berikutan cuaca panas di Kedah menjadi pengalaman tidak boleh dilupakan dua pelajar dari Switzerland yang menyertai Pesta Gagau Ikan 2024.

Peserta, Lila Collette,19, berkata, dia berasa amat teruja dan seronok untuk menimba pengalaman baharu melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan tangan itu.

Menurutnya yang merupakan pelajar University of Lausanne, Switzerland, dia gembira berpeluang menggagau ikan di Kedah memandangkan aktiviti itu tidak dilakukan negara Eropah.

Kanak-kanak turut menyertai Pesta Gagau Ikan 2024. Gambar kecil: Lila dan Nana
Kanak-kanak turut menyertai Pesta Gagau Ikan 2024. Gambar kecil: Lila dan Nana

"Ini pengalaman kedua saya selepas melakukan aktiviti menangkap ikan bersama rakan dalam kawasan sawah padi beberapa hari lepas.

"Jikalau, ada lagi aktiviti ini pada tahun-tahun akan datang, kami pasti datang dan kami akan datang dengan rakan-rakan lain dari Switzerland," katanya.

Lila antara sebahagian peserta menyertai Pesta Gagau Ikan 2024 di Bungalow Mat Haji Limah di Kampung Besar, mukim Padang Hang di sini pada Sabtu.

Sebahagian peserta yang menyertai aktiviti gagau ikan dalam kolam berselut.
Sebahagian peserta yang menyertai aktiviti gagau ikan dalam kolam berselut.

Artikel Berkaitan:

Kongsi Lila, dia berjaya menangkap kira-kira 10 ekor ikan, namun memberi hasil tangkapan terbabit kepada beberapa kanak yang turut serta dalam pesta gagau ikan itu.

Bagi rakannya, Nana Golesh, 21, dia juga sangat gembira berpeluang menyertai aktiviti menangkap ikan menggunakan tangan bersama penduduk setempat.

Menurut Nana, mereka bukan hanya dapat melakukan aktiviti menyeronokkan, malah penduduk setempat amat baik hati dan peramah.

"Jadi, kami pasti akan datang lagi selepas ini dan berjanji untuk kembali ke Kedah," katanya.

Seorang lagi peserta, Mohd Azhar Sabu, 39, berkata, dia tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti gagau ikan bersama anak sulungnya, Muhammad Adam Hakimi,11.

Menurutnya yang merupakan juruteknik, dia merupakan anak pesawah sekali gus aktiviti gagau ikan itu mengimbau nostalgia ketika zaman kanak-kanaknya.

Mohd Azhar berkata, aktiviti dilakukan amat menyeronokkan walaupun ada ikan tertentu yang agak sukar ditangkap menggunakan tangan.

Mohd Azhar menunjukkan ikan berjaya ditangkap menggunakan tangan.
Mohd Azhar menunjukkan ikan berjaya ditangkap menggunakan tangan.

"Misalnya, ikan keli agak licin, manakala ikan haruan suka benam (badan) dalam tanah (selut), jikalau masuk susah nak keluar," katanya.

Sementara itu, penganjur, Mohd Fakhri Ahmad memaklumkan, beliau mengambil inisiatif menganjurkan aktiviti gagau ikan untuk mengembalikan nostalgia ketika musim kemarau.

"Masa saya kanak-kanak, ini aktiviti wajib bersama rakan-rakan dan kita akan keluar cari lopak untuk gagau ikan (dan) aktiviti ini (dikhuatiri) makin pupus, jadi saya hendak kembalikan aktiviti ini untuk dikenalkan kepada generasi baharu,"katanya.

Beliau bersyukur aktiviti gagau ikan itu mendapat sambutan baik orang ramai termasuklah peserta dari luar negara dan luar Kedah walaupun baru dilaksanakan pertama kali pada tahun ini.

Bagaimanapun, Mohd Fakhri berkata, beliau mendapat permintaan ramai di seluruh Malaysia untuk turut sama menyertai aktiviti gagau ikan, namun terpaksa mengehadkan penyertaan kepada 50 peserta sahaja disebabkan keadaan tempat agak kecil.

Menurut Exco Pelancongan Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin, pihaknya menyambut baik usaha komuniti tempatan melaksanakan aktiviti gagau ikan.

Beliau menyifatkan, usaha terbabit mampu mengangkat kembali warisan masyarakat Kedah, sekaligus menarik minat orang luar dan pelancong datang ke negeri Jelapang Padi.

"Kita sambut baik usaha ini dan akan lihat apa yang boleh dibantu. Insya-ALLAH, jikalau program ini boleh diperhebat lagi dan akan masuk dalam Kalendar Pelancongan Kedah 2025," katanya.