Kedah kenal pasti kelemahan undang-undang syariah - Sanusi

Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar ketika menyertai acara PKNK and MB Charity Ride pada Sabtu.
Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar ketika menyertai acara PKNK and MB Charity Ride pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerajaan Kedah akan mengenal pasti sebarang kelemahan dalam undang-undang jenayah Syariah negeri dan membentangkan hasil penemuan kepada Jawatankuasa Khas di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memberikan kerjasama kepada Jawatankuasa Khas MKI untuk Mengkaji Isu Berkaitan Kopetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Menggubal Undang-undang Islam yang dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara Tun Zaki Tun Azmi.

“Kita akan kaji apa sahaja kekurangan yang ada di pihak kita (undang-undang jenayah syariah negeri) manakala pada masa yang sama jawatankuasa juga akan membentangkan pandangannya.

“Kami akan memberikan kerjasama kepada jawatankuasa khas yang dianggotai oleh hakim kanan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai acara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Menteri Besar (MB) Charity Ride di Pantai Merdeka Resort di sini pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PKNK Datuk Isahak Murat.

Peserta kayuhan bergambar bersama Sanusi ketika sampai ke salah satu destinasi di Kota Kuala Muda pada Sabtu.
Peserta kayuhan bergambar bersama Sanusi ketika sampai ke salah satu destinasi di Kota Kuala Muda pada Sabtu.

Sanusi turut mengulas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memerintahkan semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Artikel Berkaitan:

Sultan Sharafuddin yang juga pengerusi MKI bertitah usaha perlu dilakukan untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah yang timbul dengan mengkaji kaedah meluaskan kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang jenayah Syariah dalam rangka kerja yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata, jawatankuasa khas itu bukan sahaja akan meneliti isu berkaitan bidang kuasa menggubal dan menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah tetapi juga perkara lain yang berkaitan.

Jelasnya, terdapat banyak isu yang telah disenaraikan oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Tun Zaki yang perlu diselesaikan antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

“Jawatankuasa khas akan menyusun segala-galanya dan mengemukakan cadangan, supaya kedua-dua mahkamah dapat saling melengkapi dan beroperasi secara bebas tanpa gangguan.

“Seperti sekarang, semua keputusan mahkamah syariah sedang dirujuk kepada mahkamah sivil untuk dicabar. Justeru, jawatankuasa khas akan membentangkan cadangan itu kepada Majlis Pemangku Raja untuk mendapat persetujuan sebelum meminda Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam kayuhan sepanjang 27 kilometer itu, Sanusi dan kira-kira 250 peserta telah singgah ke beberapa lokasi bagi menyampaikan bantuan kepada 40 asnaf termasuk pesakit yang kurang berkemampuan dan penyakit kronik di sekitar Kota Kuala Muda.