Lokasi, kewangan kekang pembinaan Pink Ribbon Centre

Dr Zaini (dua dari kiri) meletakkan tangan sebagai solidariti bersama pesakit kanser selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Kelantan pada Sabtu.
Dr Zaini (dua dari kiri) meletakkan tangan sebagai solidariti bersama pesakit kanser selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Kelantan pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pembinaan Pink Ribbon Centre sebagai sokongan kepada pesakit kanser payudara masih tidak dapat direalisasikan berikutan kekangan kewangan dan lokasi sesuai.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, bagaimanapun pihaknya sedang berbincang dengan beberapa pihak untuk tujuan itu.

Menurutnya, perbincangan memerlukan banyak masa berikutan membabitkan bajet dan lokasi bagi memudahkan semua pesakit kanser payudara mendapatkan khidmat di pusat itu.

"Pada mulanya ada cadangan untuk membuka pusat itu di Hospital Raja Perempuan Zainab II, namun ruang untuk meletakkan kemudahan dan peralatan pesakit tidak lagi mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Kelantan di sini pada Sabtu.

Dr Zaini memberitahu, hasil perbincangan awal, ada cadangan supaya membabitkan kawasan Hospital Bachok yang akan dibuka Mei depan, Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai dan Hospital Tanah Merah.

"Kita tetap akan berusaha bagi memastikan hasrat murni ini menjadi kenyataan bagi membolehkan rawatan dan kaunseling terhadap pesakit dapat dilakukan secara maksimum.

"Setakat ini beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersetuju membantu penubuhan Pink Ribbon Centre dan terkini Cancer Research Malaysia berhasrat memberi sumbangan infrastruktur termasuk peralatan untuk pengesahan kanser payudara.

Artikel Berkaitan:

"Pink Ribbon Centre sebenarnya memudahkan pesakit melakukan rawatan, pengesanan awal selain boleh datang tanpa mengira masa setiap hari," katanya.

Konsep Pink Ribbon Centre ini mula dilaksanakan di beberapa hospital di Malaysia seperti Hospital Klang, Selangor; Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan; Hospital Queen Elizabeth, Sabah dan Hospital Umum, Sarawak.

Hasilnya mereka berjaya mengurangkan kadar pesakit sehingga kurang daripada sepuluh peratus malah meningkatkan keberkesanan pengesanan awal terhadap kes kanser payudara.

Sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Kelantan tajaan Tenaga Nasional Berhad itu meraikan 150 individu yang menghidap pelbagai kanser dari seluruh negeri.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28