Enam individu terperangkap dalam kebakaran diselamatkan

Tangkap layar kejadian kebakaran di rumah pangsa empat tingkat di Taman Pontian Utama, tengah malam tadi.
Tangkap layar kejadian kebakaran di rumah pangsa empat tingkat di Taman Pontian Utama, tengah malam tadi.
A
A
A

PONTIAN - Lima lelaki dan seorang wanita berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kebakaran di rumah pangsa empat tingkat di Taman Pontian Utama, tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata, kesemua mangsa berusia antara 26 hingga 58 tahun yang terperangkap di tingkat satu itu berjaya diselamatkan, namun wanita berusia 38 tahun terbabit cedera pada tangan kanan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.53 tengah malam yang menyatakan kebakaran berlaku di Blok B dan seramai 15 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan lori tangki air bomba digegaskan ke lokasi kejadian.

"Setibanya di tempat kejadian, didapati berlaku kebakaran melibatkan bilik meter Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terletak di bahagian tingkat bawah rumah pangsa itu, dengan terbakar lebih kurang 10 peratus.

"Kebakaran turut memusnahkan empat motosikal penduduk,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahadir berkata, anggota bomba menggunakan satu tangga jentera FRT bagi mengeluarkan enam mangsa berkenaan.

Punca dan anggaran kerugian, katanya masih dalam siasatan manakala operasi berkenaan ditamatkan pada 2.54 pagi. - Bernama

Artikel Berkaitan: