Bayi tidur di balkoni mati kesejukan

Ibu bapa di negara dengan iklim sejuk percaya 'udara segar' dapat membantu anak mereka tidur nyenyak.
Ibu bapa di negara dengan iklim sejuk percaya 'udara segar' dapat membantu anak mereka tidur nyenyak.
A
A
A

MOSCOW - Penyiasat Rusia membuka siasatan jenayah selepas seorang bayi mati kesejukan akibat ditinggalkan di balkoni oleh ibu bapanya.

Bayi lelaki berusia 7 bulan itu yang diletakkan dalam kereta sorongnya terdedah kepada suhu -7 darjah Celsius selama lima jam ketika kejadian di wilayah Timur Jauh, Khabarovsk pada 5 Januari lalu.

"Ibu bapanya mahu dia tidur dengan mendapatkan udara segar," lapor media tempatan.

Menurut laman berita Lenta, laporan awal mendapati kematian bayi di bandar Nikolayevsk-on-Amur itu disebabkan oleh hipotermia yang berlaku apabila badan terdedah kepada suhu sejuk dalam tempoh yang lama.

Susulan insiden itu, Kementerian Kesihatan wilayah terbabit bertindak menasihatkan orang ramai supaya tidak membiarkan anak masing-masing di luar rumah tanpa pengawasan orang dewasa.

"Sentiasa pantau di mana dan dengan siapa anak anda. Kanak-kanak mudah terdedah dengan bahaya pada musim sejuk dan suhu rendah ketika ini," kata kementerian tersebut menerusi Instagram.

Ia juga mendakwa ramai kanak-kanak di Khabarovsk yang menjadi mangsa kecuaian ibu bapa berkaitan langkah keselamatan asas.

Difahamkan, perbuatan membiarkan anak tidur di luar atas alasan untuk mendapatkan udara segar walaupun ketika musim sejuk didakwa dapat mengelakkan serangan batuk dan selesema.

Artikel Berkaitan:

Teori itu turut diamalkan oleh kebanyakan ibu bapa di negara Nordic seperti Finland dan Norway yang percaya anak mereka akan tidur nyenyak di tempat terbuka. - Agensi