Penghantar makanan tuntut MOT campur tangan

Mohd Adie (tiga dari kanan) menyerahkan memorandum kepada Nor Fuad pada Jumaat.
Mohd Adie (tiga dari kanan) menyerahkan memorandum kepada Nor Fuad pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Penghantar makanan menuntut campur tangan Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung penyedia perkhidmatan p-hailing, GrabFood Malaysia (GrabFood) yang didakwa menurunkan kadar bayaran upah penunggang.

Wakil pekerja penghantaran, Mohd Adie Ali Nafiah berkata, segala usaha yang dilakukan pihaknya sebelum ini masih tidak menunjukkan jalan penyelesaian.

"Kita sangat berharap kerajaan dan kementerian membantu kami sama ada menyediakan pelan jangka panjang yang adil untuk masalah ini dan sebagainya," kata beliau ketika ditemui pemberita selepas menghantar memorandum kepada MOT di sini pada Jumaat.

Ujarnya, penurunan kadar asas itu telah membebankan penghantar makanan seluruh negara yang mana pendapatan majoriti telah terjejas.

"Sistem kadar lantai telah dikacau, kami susah nak dapat makan," jelas Mohd Adie.

Terdahulu beliau bersama 50 penghantar makanan tiba di pekarangan MOT jam 3 petang bagi menyerahkan memorandum kepada kementerian yang diwakili Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Dr Nor Fuad Abdul Hamid.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor, yang turut hadir merayu kerajaan memberi perhatian kepada tuntutan penghantar makanan tersebut.

"Berikan mereka sinar, saya tidak fikir penghantar makanan meminta bulan dan bintang, bukan hendak jadi kaya, tetapi bekerja demi sesuap nasi untuk menyara keluarga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan keluhan penghantar makanan yang didakwa hilang pendapatan sekitar RM30 sehari bagi setiap 10 pesanan selepas kadar upah baharu dilaksanakan.

Bagaimanapun syarikat perkhidmatan p-hailing, Grab Malaysia menjelaskan struktur tambang penghantaran dan bonus baharu diperkenalkan bertujuan memastikan rakan kongsi penghantar yang menjalankan perkhidmatan di syarikat berkenaan dibayar secara adil.

Pembaharuan itu memberi manfaat kepada rakan kongsi penghantar yang bekerja keras bagi memenuhi pesanan pengguna.