Polis lengkapkan kertas siasatan kes gaduh penghantar makanan, 'pak guard'

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Allaudeen)
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Allaudeen)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah melengkapkan kertas siasatan kes pergaduhan melibatkan seorang penghantar barangan dan pengawal keselamatan di sebuah bangunan di ibu kota dekat sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kertas siasatan itu telah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, pada Selasa.

"Kita sudah selesai menjalankan siasatan, seramai 23 orang telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kuala Lumpur pada Rabu.

Pada Jumaat, tular video di media sosial memaparkan pergaduhan melibatkan dua individu berkenaan disyaki berpunca daripada salah faham.

Menerusi hantaran video terbabit, pergaduhan tercetus apabila penghantar barangan itu didakwa tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan.

Kertas siasatan berkaitan kejadian turut dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berasingan, Allaudeen berkata, seramai 87 orang penerima pingat yang terdiri daripada 17 orang Pegawai Rendah Polis Kuala Lumpur yang masih berkhidmat dan 70 pesara polis telah menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara.

Artikel Berkaitan:

"Pingat Jasa Pahlawan Negara ini dianugerahkan kepada petugas-petugas polis bagi menghargai jasa kepahlawanan serta pengorbanan mereka kepada negara semasa era darurat dalam Perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu dan era insurgensi komunis," katanya.

Artikel berkaitan: Polis siasat video gaduh libatkan penghantar makanan dan 'pak guard'