MOT bincang kekalkan perkhidmatan tren shuttle JB-Singapura

Anthony ketika menghadiri Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Anthony ketika menghadiri Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan berusaha berunding dengan Singapura untuk mengekalkan operasi perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau antara Johor Bahru Sentral dan Woodlands selepas projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura mula beroperasi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penamatan operasi perkhidmatan shuttle itu adalah antara syarat yang dipersetujui antara Malaysia-Singapura dalam melaksanakan projek RTS, namun usaha itu bagi memberi pilihan kepada penumpang.

"Saya sendiri merasakan bahawa memang tidak salah kalau kita ada lebih banyak kesalinghubungan antara kedua-duanya negara... itu memberi pilihan kepada penumpang.

"Justeru, Kementerian Pengangkutan akan berusaha untuk merundingkan perkara ini dengan Singapura supaya perkhidmatan ini dikekalkan walaupun selepas RTS mula beroperasi,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) sama ada perkhidmatan shuttle Johor Bharu Sentral-Woodlands, akan dikekalkan selepas RTS mula beroperasi.

Menjawab soalan asal Suhaizan berhubung ridership atau bilangan penumpang Tren Shuttle Tebrau dan langkah meningkatkan kapasiti perkhidmatan itu, Anthony berkata, jumlah penumpang mencatatkan peningkatan memberangsangkan dengan rekod penumpang bagi tahun ini meningkat tujuh peratus iaitu purata penumpang 8,635 orang sehari.

Beliau berkata, bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan tren itu, Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) bersetuju menambah kekerapan operasi tren daripada 31 trip kepada 36 trip dan peningkatan jumlah koc setiap operasi tren daripada empat koc kepada lapan koc.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai langkah mengurangkan kesesakan pada waktu puncak di pintu masuk negara bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, Anthony berkata, antara usaha dilakukan ialah melaksanakan koordinasi dengan pelbagai agensi untuk mempercepat proses imigresen di Tambak Johor

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, dari segi kaunter ataupun perkhidmatan Touch 'n Go dengan untuk membayar 'road charge' (caj jalan raya) untuk kemasukan daripada Singapura telah pun disatukan yang dapat menjimatkan sedikit masa untuk kereta dari Singapura memasuki Malaysia.

"Kita akan cuba tambah lorong motosikal dan menambah kaunter imigresen agar sentiasa dioptimumkan. Selain itu, kita juga melihat cara lain tambah kesalinghubungan dengan cadangan untuk mengadakan perkhidmatan feri di antara kedua-dua negara," katanya.- Bernama