Pertumbuhan sederhana ekonomi Malaysia pada 2023 seiring negara ASEAN lain

Pertumbuhan sederhana keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada 2023 adalah seiring dengan prestasi negara ASEAN lain.
Pertumbuhan sederhana keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada 2023 adalah seiring dengan prestasi negara ASEAN lain.
A
A
A

PERTUMBUHAN sederhana keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada 2023 adalah seiring dengan prestasi negara ASEAN lain, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurut jabatan itu, ekonomi Singapura berkembang 1.1 peratus pada 2023 daripada 3.8 peratus pada 2022, Indonesia meningkat 5.1 peratus daripada 5.3 peratus manakala Filipina mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus daripada 7.6 peratus.

"Negara maju lain turut mencatatkan pertumbuhan sederhana seperti Korea Selatan pada 1.4 peratus (2022: 2.6 peratus) dan United Kingdom pada 0.1 peratus (2022: 4.3 peratus).

"Bagaimanapun, China terus berkembang pada 5.2 peratus daripada 3.0 peratus pada 2022 dan Amerika Syarikat meningkat 2.5 peratus daripada 1.9 peratus pada 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pertumbuhan keseluruhan ekonomi Malaysia pada 2023 meningkat 3.7 peratus berbanding 8.7 peratus pada 2022 didorong oleh sektor perkhidmatan dengan pertumbuhan 5.3 peratus, diikuti sektor pembinaan (6.1 peratus) dan pembuatan (0.7 peratus).

Sektor pembuatan berkembang pada kadar lebih perlahan berikutan asas yang lebih tinggi pada tahun sebelumnya dan permintaan luaran global yang lemah.

Dari segi permintaan ekonomi, pertumbuhan diterajui oleh penggunaan akhir swasta atau perbelanjaan isi rumah yang meningkat sebanyak 4.7 peratus, diikuti pembentukan modal tetap kasar (GFCF) pada 5.5 peratus dan perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan sebanyak 3.9 peratus.

"Penggunaan akhir swasta atau perbelanjaan isi rumah, yang menyumbang 58.9 peratus kepada KDNK, meningkat 4.2 peratus pada suku keempat 2023, disokong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi dalam pengangkutan (10.1 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (5.9 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (5.6 peratus).

Artikel Berkaitan:

"Bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, prestasi keseluruhan menyusut 3.0 peratus berbanding -0.7 peratus pada Suku Ketiga,” kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata GFCF berkembang sebanyak 6.4 peratus pada suku tersebut, manakala perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan meningkat 7.3 peratus didorong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi untuk bekalan dan perkhidmatan.

Pada asas pelarasan musim suku ke suku tahun, perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan meningkat sebanyak 0.6 peratus.

Mohd Uzir juga berkata, eksport dan import masing-masing merosot sebanyak 6.3 peratus dan 2.9 peratus pada Suku Keempat

Oleh itu, eksport bersih terus menurun sebanyak 35.6 peratus berbanding penurunan 22.7 peratus pada suku sebelumnya.

Pada asas tahunan, eksport dan import masing-masing menyusut sebanyak 7.9 peratus dan 7.6 peratus, dengan eksport bersih merekodkan penurunan 11.3 peratus pada 2023. - Bernama