'Bersatu akan beri kata dua sebelum kenakan tindakan' - Muhyiddin

Muhyiddin ketika wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya baru-baru ini.
Muhyiddin ketika wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meluluskan draf pindaan Perlembagaan parti berkaitan pengosongan kerusi Parlimen bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan sekiranya ahli bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pindaan yang akan dibentangkan pada 2 Mac depan akan turut terpakai kepada mereka yang telah melakukan tindakan sedemikian.

"Sekiranya berlaku perkara seperti ini di masa hadapan, maka terhentilah keahliannya. Perlembagaan kita ada juga bab 'cross the floor' (bertukar parti), maka terlucut lah keahlian dan kalau ikut Akta Lompat Parti, terkosong lah kerusi. Ini kita akan bentang dan bahas dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa tidak lama lagi.

"Setelah kita meminda Perlembagaan parti, bukan sahaja kes yang sudah berlaku tetapi (terpakai) kehadapan. Mereka semua yang enam orang ini masih ahli Bersatu, cuma dia menyokong pihak sana. Bagi kami itu salah dan di bawah peruntukan sedia ada, tidak termaktub, sebab itu kita nak pinda," katanya kepada Sinar Harian ketika wawancara eksklusif baru-baru ini.

Sebelum ini media dilaporkan, enam Ahli Parlimen Bersatu sudah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Syed Abu Hussin, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaru, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh memaklumkan, Bersatu akan menghantar surat kepada mereka yang terbabit untuk menyatakan pendirian sebelum sebarang tindakan dilaksanakan.

"Sebelum dikuatkuasakan nanti dan bila sudah diluluskan oleh RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan), kita akan hantar surat kepada enam orang itu untuk memberi kata dua sama ada kekal menyokong (Perdana Menteri) atau sebaliknya. Itu prosedur yang diambil supaya tindakan ini berperaturan," ujarnya.

Sementara itu ditanya mengapa barisan kepimpinan lewat meminda Perlembagaan parti, bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun menjelaskan, asas keyakinan terhadap ahli parti untuk kekal setia menjadi faktor utama tidak lakukan sedemikian

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak jangka perkara seperti ini akan berlaku. Kita berpendapat sewajarnya semua ahli-ahli Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) akan taat, apa lagi apabila sudah berbaiah dengan nama ALLAH untuk taat setia dan tidak akan melakukan sesuatu.

"Tetapi sebelum itu memang tiada sebab (untuk pinda) dan anggap semua setia, tidak bertindak sewenang-wenangnya seperti apa yang telah berlaku," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28