Dua jenayah dalam tempoh 6 jam, penyamun remaja akhirnya dicekup

Kalsom ditemui pemberita dalam sidang akhbar di IPD Kota Kinabalu.
Kalsom ditemui pemberita dalam sidang akhbar di IPD Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan seorang remaja lelaki melakukan dua jenayah samun dan curi dalam tempoh enam jam membawa padah apabila berjaya ditahan polis di Jalan Gaya di sini pada Khamis.

Suspek berusia 18 tahun itu berjaya ditahan kira-kira jam 7 malam selepas pihak polis menyedari lelaki tersebut dikejar orang awam ketika mencuri sebuah telefon bimbit di lokasi tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Kalsom Idris berkata, tangkapan tersebut melibatkan dua kejadian jenayah berlaku di lokasi berhampiran di Jalan Gaya.

"Kes pertama melibatkan samun terhadap seorang wanita berusia 35 tahun yang dalam perjalanan dari tempat kerja ke sebuah kedai dengan melalui lorong belakang sebuah bank kira-kira jam 1 tengah hari.

"Mangsa didatangi seorang lelaki dari arah belakang dan bertindak menekup mulut serta menjatuhkan mangsa. Suspek kemudian menumbuk muka dan kepala mangsa sehingga cedera sebelum mengambil dompet mangsa lalu melarikan diri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini pada Jumaat.

Kalsom berkata, dalam kes kedua pula kira-kira jam 7.30 malam di kawasan berhampiran sebuah pasar raya suspek telah mencuri telefon bimbit jenis Huawei milik seorang wanita berusia 36 tahun.

"Ketika kejadian ini, mangsa sedang berjalan kaki dan telefon bimbitnya disambar suspek namun disedari orang awam lalu bertindak mengejarnya.

"Pasukan polis kebetulan berada di lokasi yang mengadakan Op Payung menyedari kejadian itu segera bertindak mengejar dan menangkap mangsa di lokasi tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, hasil siasatan mendapati suspek yang ditahan tersebut merupakan suspek sama dalam kes pertama.

"Suspek mengaku telah terlibat dalam kes samun yang pertama.

"Suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengajar mencederakan orang untuk melakukan samun dan Seksyen 379 kanun sama kerana mencuri," katanya.